PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan tahniah kepada Datuk Hasni Mohamad yang dilantik sebagai Menteri Besar Johor.
Dalam kenyataannya, Muhyiddin turut mendoakan Johor bertambah maju di bawah kepimpinan Hasni.
"Saya mendoakan agar Johor terus maju jaya di bawah kepimpinan Hasni," katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Pagoh itu turut merafak sembah takzim dan menjunjung kasih kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar atas perkenan baginda dalam pelantikan tersebut.
Jumaat lalu, Hasni, 61, yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Benut, sah menjadi Menteri Besar Johor yang ke-18 menggantikan Datuk Dr Sahruddin Jamal.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut itu merupakan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor.
Pelantikan Hasni mendapat perkenan Sultan Johor selepas kerajaan Gabungan Baharu memperoleh majoriti mudah iaitu 28 kerusi susulan sesi temu bual baginda bersama-sama kesemua ADUN di Bukit Timbalan, Rabu lalu.
Gabungan Baharu itu merangkumi BN, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Bersatu mengumumkan keluar daripada Pakatan Harapan (PH) pada 24 Februari lalu.- Bernama
ARTIKEL BERKAITAN: 'Bukan lantikan pintu belakang'