Syarikat projek skala besar dikesan curi air

Iklan
Mohd Suhairy (kanan) melihat perincian kes kecurian air yang dibawa ke  mahkamah. Foto SINAR HARIAN ADILA SHARINNI WAHID Mohd Suhairy (kanan) melihat perincian kes kecurian air yang dibawa ke  mahkamah. Foto SINAR HARIAN ADILA SHARINNI WAHID
Mohd Suhairy (kanan) melihat perincian kes kecurian air yang dibawa ke mahkamah. Foto SINAR HARIAN ADILA SHARINNI WAHID

KOTA BHARU - Syarikat pemaju projek berskala besar dikenal pasti antara pihak yang dikesan melakukan sambungan air secara haram bagi mengelak membayar caj bekalan sah kepada operator berlesen.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Mohd Suhairy Zakaria ketika ditemui berkata, berdasar kes-kes yang dikendalikan di mahkamah, kegiatan terbabit dilakukan secara terancang dan berselindung di sebalik pelaksanaan kerja-kerja pembinaan yang sukar dikesan pihak berkuasa.

Iklan
Iklan

"Kita dapati antara modus operandi mereka ialah membuat sambungan terus dari paip utama bawah tanah sebagai helah kononnya bekalan disambung sah sedangkan dalam tapak projek ada paip haram.

"Kawasan itu milik mereka, kerja menggali dan pasang paip memang kerja kontraktor,” katanya kepada pemberita pada Sabtu.

Iklan

Menurut beliau, sejak beberapa tahun lalu, lebih 100 kes dicatatkan secara purata setiap tahun termasuk melibatkan termasuk projek mega bernilai puluhan juta dan bilion ringgit.

"Dalam satu kes, nilai projek RM89 juta tapi sambungan air dilakukan secara haram dengan niat mereka mahu maksimumkan keuntungan.

Iklan

"Kerugian kepada operator air seterusnya kerajaan negeri boleh mencecah hingga RM500,000 dalam kes-kes tertentu khususnya jika tempoh penggunaan air itu lama dan jumlahnya besar,” katanya.

Beliau berkata, sekitar 40 peratus daripada kes tersebut dibawa ke mahkamah, manakala selebihnya dikenakan kompaun berdasarkan tahap kesalahan dan jumlah kerugian.

Mengulas pindaan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) yang diwarta dan berkuat kuasa tahun ini, beliau menyifatkan peningkatan kadar hukuman maksimum daripada RM100,000 kepada RM1 juta sebagai langkah tepat untuk mengekang kegiatan itu.

"Buat masa ini, masih belum ada kes baharu yang didakwa bawah peruntukan pindaan kerana tertakluk kepada tempoh siasatan dan proses kelulusan pendakwaan.

"Tapi dengan pindaan ini, pihak kami bersedia untuk ambil tindakan lebih tegas,” katanya.