ALOR SETAR - UMNO Kedah menggesa Kerajaan Perpaduan agar segera menunaikan janji yang dibuat dua tahun lalu untuk melantik wakil parti itu sebagai Timbalan Pengerusi Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPN) Kedah.
Ketua UMNO Bahagian Langkawi, Datuk Mohd Nazifuddin Mohd Najib berkata, kegagalan memenuhi janji tersebut mencerminkan kelemahan kepimpinan selain menimbulkan persoalan mengenai keikhlasan kerjasama politik yang terjalin antara UMNO dan Pakatan Harapan (PH) di negeri itu.
Menurutnya, ia bukan isu remeh sebaliknya membabitkan maruah politik, integriti kepimpinan dan kejujuran dalam memenuhi komitmen yang dimeterai bersama dalam Kerajaan Perpaduan.
"UMNO Kedah tidak akan berdiam diri terhadap janji yang telah dibuat oleh Kerajaan Perpaduan dua tahun lalu, yang sehingga hari ini belum ditunaikan.
"Ini bukan perkara kecil yang boleh dilengah-lengahkan atau dianggap tidak penting,” katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.
Mohd Nazifuddin berkata, perlantikan wakil UMNO dalam MTPN adalah penting untuk memastikan suara rakyat di peringkat akar umbi di Kedah didengar dan diberikan perhatian, terutama dalam merancang dan melaksanakan dasar pembangunan negeri.
Pada Sabtu, UMNO Kedah menuntut Kerajaan Perpaduan menunaikan janji melantik wakil parti itu sebagai Timbalan Pengerusi MTPN Kedah, seperti dijanjikan dua tahun lalu.
Kenyataan itu dibuat oleh Ketua Penerangannya, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin yang dilaporkan berkata, jawatan tersebut penting bagi memastikan penyelarasan pembangunan lebih baik antara Kerajaan Persekutuan dan negeri, selain membolehkan UMNO memainkan peranan secara langsung dalam perancangan pembangunan negeri.
Mohd Nazifuddin jelaskan, UMNO menyertai Kerajaan Perpaduan atas dasar ingin melihat kestabilan politik negara dipulihkan dan pembangunan dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan inklusif.
"Kami berlapang dada, bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak yang meletakkan kepentingan rakyat di hadapan, tetapi jangan sesekali cuba mengambil sikap mempergunakan sokongan kami hanya untuk mengukuhkan kuasa.
"Jika mahu terus berdiri sebagai rakan kongsi, sepatutnya penuhi janji yang telah dibuat. Saya menyokong penuh gesaan agar janji tersebut dilaksanakan segera,” katanya.
Tegasnya, UMNO Kedah tidak pernah menuntut lebih daripada apa yang sewajarnya.
"Kekuatan PH sahaja tidak cukup untuk melawan dominasi PN. Kekuatan jentera UMNO dan pengaruh akar umbi masih memainkan peranan penting dalam mempertahankan kerajaan di Kedah.
"Wakil UMNO di MTPN Kedah bukan sekadar simbol, tetapi satu keperluan untuk memastikan suara rakyat Kedah di semua peringkat didengar dan dihormati.
"Jika Kerajaan Perpaduan benar-benar ikhlas dalam membina masa depan yang stabil dan progresif, mereka perlu mula menunjukkan kejujuran melalui tindakan dan bukan sekadar kenyataan,” ujarnya.
Mohd Nazifuddin turut memberi amaran UMNO bukan parti ‘pak turut’ dan tidak akan berdiam diri sekiranya janji yang dibuat kepada parti itu tidak ditunaikan.
"Apabila tiba masa untuk berkongsi tanggungjawab, suara UMNO disenyapkan, peranan UMNO disisihkan. Apa sebenarnya mesej yang cuba disampaikan oleh kepimpinan PH? Mereka mahu bekerjasama atau hanya mahu menggunakan UMNO?” soalnya.