KUALA LUMPUR – Suasana sibuk Pasar Chow Kit pada pagi Ahad bertukar gempar apabila ratusan warga asing dipercayai pendatang asing tanpa izin (PATI) terkejut serta cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran anggota penguat kuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Dalam operasi selama sejam bermula jam 9.45 pagi itu, sebahagian warga asing bertempiaran lari ke lorong belakang serta menyorok di bawah meja niaga.
Bagaimanapun segala taktik mereka tidak berhasil apabila anggota imigresen yang lengkap membuat kepungan di sekitar kawasan berjaya menahan kesemua yang melarikan diri.


Operasi dinamakan Ops Kutip itu disertai 52 pegawai dan anggota JIM menyasarkan lokasi Pasar Chow Kit yang diketahui menjadi tumpuan warga asing, khususnya pada hujung minggu.
Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, seramai 136 individu diperiksa dan daripada jumlah itu, 103 ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen.
"Ramai warga asing di lokasi terbabit panik dan cuba melarikan diri.
"Bagaimanapun dengan tindakan pantas anggota di lapangan, mereka berjaya dikesan dan ditahan," katanya pada Ahad.
Katanya, warga Indonesia merupakan kumpulan terbesar yang diperiksa dengan jumlah 91 orang, diikuti Bangladesh (29), India (6), Myanmar (8), Yaman (1) dan Filipina (1).
"Daripada jumlah yang ditahan, 80 adalah lelaki manakala 23 lagi perempuan.
"Kesemua mereka ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen sah dan tinggal lebih masa," katanya.
Wan Mohammed Saupee berkata, kesemua tahanan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen untuk tindakan lanjut dan siasatan mengikut prosedur sedia ada.
"Operasi penguatkuasaan akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa di lokasi tumpuan," katanya.