SHAH ALAM – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merayu rakyat memberi beliau peluang untuk memanfaatkan pengalamannya selama 40 tahun dalam politik dan kerajaan untuk mengemudi Malaysia ke arah kegemilangan.
Muhyiddin berkata, beliau berharap rakyat memberikan sokongan padu kepadanya untuk memikul amanah dan tanggungjawab besar yang digalas.
"Saya tawarkan jiwa dan raga saya untuk negara. Berikan saya sedikit masa untuk menetapkan garis-garis utama hala tuju kerajaan dan negara di bawah pentadbiran baharu ini yang Insya-ALLAH akan saya jelaskan kepada rakyat dalam masa terdekat,” katanya pada perutusan khas yang disiarkan secara langsung menerusi televisyen malam tadi.
Berikut ucapan penuh beliau:
"Hampir seminggu negara kita menghadapi kemelut politik yang membimbangkan. Kemelut ini berlaku apabila mantan Perdana Menteri meletakkan jawatan. Ini menyebabkan jawatan Perdana Menteri kosong dan perlu diisi.
Menurut Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan, Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong boleh melantik seorang Perdana Menteri baharu yang mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat.
Selaras dengan peruntukan ini, Duli Maha Mulia Tuanku telah berkenan melantik saya sebagai Perdana Menteri. Ini adalah kebijaksanaan Duli Yang Maha Mulia Tuanku sebagai Ketua Negara yang menjalankan fungsi baginda selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.
Saya sedar bahawa pelantikan saya bukanlah melalui pilihan raya. Sebaliknya, saya dilantik setelah mendapat sokongan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat. Ini adalah satu amalan yang dibenarkan oleh Perlembagaan Persekutuan dan selaras dengan prinsip demokrasi berparlimen di Malaysia.
ARTIKEL BERKAITAN: 'Saya bukan pengkhianat'
Setelah melalui kemelut politik yang melanda negara kita sejak seminggu yang lalu, saya tahu saudara-saudari tentunya mahu negara kita kembali berada di landasan yang betul.
Saudara-saudari pastinya tidak mahu negara kita diheret ke dalam kemelut politik yang lebih besar Saudara dan saudari rakyat Malaysia yang saya hormati, Saya tidak berniat untuk menimbulkan konfrontasi dengan sesiapa.
Saya cuma ingin memberikan sedikit penjelasan mengenai perkara yang sebenarnya berlaku supaya keikhlasan saya tidak dipersoalkan. Saya tidak mengidamkan jawatan Perdana Menteri. Saya hanya tampil untuk menyelamatkan keadaan apabila kedua-dua calon Perdana Menteri tidak mendapat sokongan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat.
Di peringkat awal, saya dan semua ahli Dewan Rakyat daripada parti Bersatu telah memberikan sokongan padu kepada Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri. Tetapi malangnya beliau gagal mendapatkan sokongan majoriti daripada ahli-ahli Dewan Rakyat yang lain.
Perkara ini telah dijelaskan dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak Istana Negara pada 28 Februari 2020. Oleh yang demikian, DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah mengambil keputusan yang bijaksana dengan menjemput ketua-ketua parti mengemukakan seorang calon lain yang berkemungkinan mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.
Ketika itulah nama saya sebagai calon Perdana Menteri telah dikemukakan oleh ahli-Ahli Dewan Rakyat daripada Bersatu dan ketua-ketua parti yang lain. Menurut mereka saya mempunyai sokongan majoriti.
Saya mengambil masa untuk berfikir sedalam-dalamnya sebelum membuat keputusan. Apa pilihan yang saya ada? Terus menyokong Tun Dr Mahathir yang tidak mempunyai sokongan majoriti atau menerima pencalonan sebagai Perdana Menteri? Jika saya terus menyokong Tun Dr Mahathir, kemelut politik akan berpanjangan.
Berkemungkinan Parlimen terpaksa dibubarkan dan Pilihan raya umum perlu diadakan. Saya sedar saudara dan saudari sudah letih dan la’ih dengan kemelut politik yang berlaku. Dalam keadaan ini, saya sebagai pemimpin mesti mencari jalan penyelesaian.
Saya tidak boleh membiarkan kemelut berpanjangan. Kerana itu saya telah bertemu dengan Tun Dr Mahathir dan meminta beliau menyokong saya. Dalam pertemuan yang disaksikan oleh dua orang tokoh parti, beliau telah menyatakan bahawa beliau bersedia memberi laluan kepada saya sekiranya saya mendapat sokongan majoriti.
Perkara ini dinyatakan oleh beliau sendiri dalam satu sidang akhbar pada 27 Februari 2020. Dengan sokongan itu, saya telah menerima pencalonan saya sebagai Perdana Menteri. Saya tahu ada yang marah kepada saya.
Seperti yang dijangka, ada pihak yang menggelar saya pengkhianat. Dengarlah baik-baik. Saya bukanlah pengkhianat. Naluri saya jelas bahawa keberadaan saya di sini adalah untuk menyelamatkan negara daripada berterusan dilanda kemelut. Saya juga sedar bahawa apa yang rakyat mahu ialah sebuah kerajaan yang bersih, berintegriti dan bebas rasuah.
Buat permulaan ini, saya berjanji akan melantik anggota jemaah menteri dari kalangan individu yang bersih, berintegriti dan berkaliber. Kerajaan pimpinan saya juga akan memberi keutamaan kepada usaha untuk meningkatkan integriti dan tadbir urus kerajaan yang baik.
Ini termasuk usaha-usaha untuk membanteras amalan rasuah dan salah guna kuasa dengan meningkatkan penguatkuasaan dan memperkemaskan undang-undang, peraturan dan amalan yang berkaitan.
Saya juga faham bahawa apa yang rakyat mahu ialah sebuah kerajaan yang prihatin dan cekap dalam menyelesaikan permasalahan rakyat.
Saudara memerlukan wang untuk membeli barang keperluan harian, membeli buku dan keperluan sekolah untuk anak-anak, membayar bil air, elektrik dan sewa rumah, membayar pinjaman kereta dan kediaman, serta lain-lain keperluan untuk menyara kehidupan sekeluarga.
Saya juga tahu bahawa antara perkhidmatan yang paling diperlukan oleh saudara dan saudari ialah perkhidmatan kesihatan yang berkualiti dengan kos yang berpatutan. Ini juga akan menjadi keutamaan saya.
Dalam menghadapi wabak coronavirus pada masa ini, sama-samalah kita jaga kesihatan. Saya juga sedar saudara dan saudari juga mahukan pendidikan yang berkualiti untuk anak-anak. Bidang pendidikan amat dekat dengan jiwa saya.
Dengan pengalaman selama enam tahun menjadi Menteri Pendidikan, saya berjanji akan berusaha untuk melonjakkan lagi kualiti pendidikan negara. Saya akan pastikan anak-anak kita mendapat taraf pendidikan yang setanding dengan negara-negara maju.
Usaha ini telah pun saya mulakan dahulu. Insya-ALLAH ia akan diperkukuhkan lagi pada masa hadapan. Saya tahu bahawa saudara dan saudari mahukan sebuah negara yang stabil, aman dan makmur. Sebuah negara yang menawarkan kehidupan yang lebih baik untuk kita semua.
Kerajaan pimpinan saya akan memberi tumpuan kepada pelaksanaan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang akan melonjakkan pertumbuhan ekonomi negara dan merapatkan jurang ekonomi dalam masyarakat.
Marilah bersama-sama saya untuk bina semula negara kita dan kembalikan kegemilangannya. Saya adalah Perdana Menteri untuk semua rakyat Malaysia dari Perlis hingga ke Sabah. Baik saudara orang Melayu, saudara orang Cina, saudara orang India, Sikh, Iban, Kadazan, Dusun, Murut, orang asal, atau apa jua kaum dan etnik, saya adalah Perdana Menteri saudara.
Sama ada saudara adalah petani, saudara nelayan, saudara peniaga, saudara penjawat awam, saudara pekerja swasta, saya adalah Perdana Menteri saudara.
Saya merayu agar saudara dan saudari memberikan sokongan padu kepada saya untuk memikul amanah dan tanggungjawab besar ini. Berilah saya peluang untuk memanfaatkan 40 tahun pengalaman saya dalam politik dan kerajaan untuk mengemudi Malaysia ke arah kegemilangan.
Saya tawarkan jiwa dan raga saya untuk negara. Berikan saya sedikit masa untuk menetapkan garis-garis utama hala tuju kerajaan dan negara di bawah pentadbiran baharu ini yang InsyaALLAH akan saya jelaskan kepada rakyat dalam masa terdekat.
Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada saudara dan saudari yang telah menghadapi kemelut yang melanda negara dengan sabar dan tenang.
Saya juga merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada Tun Dr Mahathir yang telah banyak berjasa kepada negara kita. Bersatu teguh, bercerai roboh. Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Ayuh, bersatulah kita demi tanah air tercinta."