Ugut ibu dengan pisau

Iklan

KUALA TERENGGANU - Bengang permintaannya untuk mendapatkan sejumlah wang tidak dilayan, seorang gadis mengamuk dan merosakkan semua harta benda yang ada di dalam rumah keluarganya di Kampung Belukar Jambu, di sini, malam semalam.

Bukan itu sahaja, dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam, suspek, 20-an, turut tergamak mengugut ibunya, 50, dengan mengacukan pisau ke arah wanita itu sehingga menimbulkan ketakutan.

Iklan
Iklan

Menurut sumber, sebelum insiden itu berlaku, suspek dikatakan ada meminta sejumlah wang daripada ibunya tetapi mangsa enggan melayannya dengan memberi alasan tidak mempunyai wang.

"Keengganan mangsa yang masih tidak mahu menunaikan permintaan itu meskipun dipujuk berkali-kali menyebabkan suspek naik angin sebelum mengamuk dan memaki hamun wanita tersebut.

Iklan

"Tidak puas dengan itu, suspek seolah dirasuk apabila memecahkan semua barang berharga di dalam rumah meskipun cuba dihalang adik beradiknya yang berada di rumah ketika itu.

"Tanpa menghiraukan rayuan ibu dan adik beradiknya yang lain, suspek semakin naik hantu apabila mengambil sebilah pisau di dapur sebelum bertindak mengacukan senjata itu kepada mangsa," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Iklan

Jelas sumber, selepas puas mengamuk, suspek keluar dari rumah dengan memandu kereta ayahnya tanpa sempat dihalang.

"Suspek dikatakan merampas kunci kereta jenis Perodua Myvi yang digantung di ruang tamu sebelum melarikan diri dengan memandu kenderaan tersebut.

"Tindakan gadis itu memandu kenderaan milik ayahnya mengundang kebimbangan mangsa dan ahli keluarga lain kerana dia tidak memiliki lesen memandu," katanya.

Kata sumber, mangsa mendakwa sebelum ini, suspek sering berkelakuan seperti itu terhadapnya dan adik beradik yang lain setiap kali berkehendakkan wang.

"Tidak tahan melayan karenah suspek dan bimbang akan keselamatan dirinya serta ahli keluarga lain pada masa akan datang, mangsa mengambil keputusan membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Suffian Sulaiman ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian yang dibuat di Balai Polis Chendering, di sini.

Jelasnya, kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat.