BATU GAJAH – Kementerian Kesihatan menyasarkan peningkatan golongan penderma darah kepada 35 kali setahun bagi 1,000 orang untuk mengimbangi bekalan dan permintaan penduduk negara ini.
Timbalan Menterinya, Dr Lee Boon Chye berkata, kadar itu adalah sama seperti piawaian antarabangsa berbanding 23 kali setahun bagi 1,000 orang yang disasarkan kerajaan sebelum ini.
Menurutnya, kementeriannya yakin bekalan untuk menampung keperluan darah di semua hospital kerajaan dan swasta adalah mencukupi sekiranya golongan penderma ini dapat ditingkatkan.
"Statistik yang dikumpulkan Pusat Darah Negara menunjukkan setiap hari kita memerlukan lebih kurang 2,000 paket untuk kegunaan pesakit yang terlibat kemalangan, pendarahan semasa bersalin dan keperluan-keperluan lain.
"Jadi kita perlu sasarkan golongan penderma meningkat dan di negara kita ini sekiranya dalam 1,000 orang dapat menderma sebanyak 35 kali setahun pun itu sudah cukup,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kempen Derma Darah dan Kempen Anti Merokok peringkat Batu Gajah di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Batu Gajah di sini, hari ini.
Dr Boon Chye berkata, berdasarkan kajian dilakukan didapati 99 peratus penderma di negara ini datang secara sukarela dan bukannya atas bayaran.
"Satu paket darah yang didermakan boleh diasingkan kepada tiga bahagian iaitu platelet, plasma dan pek sel untuk membantu sekurang-kurangnya tiga pesakit.
"Walaupun kita hanya menderma satu paket darah, sebenarnya kita dapat bantu tiga pesakit lain, boleh dikatakan kebanyakan orang dewasa yang sihat tiada masalah untuk menderma darah sebab itu kita galakkan mereka yang sihat bantu tingkatkan bekalan darah di hospital seluruh negara,” katanya.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Batu Gajah, V Sivakumar berkata, kempen darah berkenaan adalah penganjuran tahun ke-12 dan menyasarkan sekurang-kurangnya 100 penderma.