SHAH ALAM - Pemuda Pas Selangor menyokong penuh seruan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang supaya agenda pemerkasaan perpaduan dan kebajikan diberikan tumpuan kerajaan di bawah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ketuanya, Hanafi Zulkapli berkata, kerajaan mesti meletakkan agenda pemulihan negara sebagai kepentingan utama mengatasi blok kepartian yang memangsakan rakyat.
Menurutnya, pihaknya yakin fokus perpaduan dan kebajikan rakyat adalah harapan rakyat setelah mereka dikecewakan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).
"Kerajaan PH mengabaikan janji manifesto ekoran keghairahan dan kerakusan individu tertentu dalam isu peralihan kuasa yang tidak berkesudahan.
"Justeru, rakyat pastinya mahu melihat sesuatu yang lebih baik mampu dilakukan oleh kerajaan baharu pada hari ini bagi memastikan agenda pemuliharan negara berada di tahap yang lebih baik," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Hanafi berkata, pendirian Pas memfokuskan aspek rakyat dan negara berbanding agihan jawatan dalam kerajaan mencerminkan Pas bukan parti yang gilakan kuasa.
"Pas ambil pendekatan kesaksamaan dan keseimbangan dalam isu pembangunan serta kemajuan ekonomi antara Semenanjung Malaysia dengan Sabah Sarawak.
"Selain itu, penekanan ke atas prinsip federalisme dengan memastikan keadilan dirasai bersama merupakan satu indikator penting dalam pentadbiran kerajaan baharu yang mesti dibuktikan.
"Ini kerana, pentadbiran terdahulu menganaktirikan negeri yang diperintah oleh pihak pembangkang. Lantaran itu, perolehan kuasa sebagai kerajaan Pusat bukanlah untuk membalas dendam sebaliknya untuk memperbaiki kesilapan yang lalu," katanya.
Beliau turut menyeru, Pemuda Pas bangkit memaksimumkan tenaga kerja dalam memperkasa dan menyebar luaskan agenda di setiap peringkat.
"Jika dahulu posisi kita berada di pihak pembangkang, kini kita berada di posisi sebahagian dari kerajaan Pusat.
"Sudah pasti, ia memerlukan lebih pengorbanan dan komitmen yang tingkat untuk memastikan kejayaan Pas dalam suasana sebahagian dari kerajaan Pusat pada hari ini," katanya.