TEMERLOH - Seorang wanita yang mengandung tujuh bulan bersama ibu mentuanya nyaris maut selepas rumah didiami mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Tan Sri Yahya, Mukim Songsang di sini petang semalam.
Kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu menyebabkan keluarga berkenaan tinggal sehelai sepinggang selepas gagal menyelamatkan barang dalam rumah termasuk dokumen penting.
Rasilah Mohd Mustafa, 47, berkata, ketika kejadian dia sedang membuat panggilan telefon di depan pintu rumahnya sebelum menantunya, Norhidayu Idris, 24, menegurnya kerana terhidu bau hangit.
"Menantu tanya saya ada bakar sampah ke, saya pun jawab tidak dan segera ke dapur sebelum ternampak api dari arah bilik.
"Ketika itu, saya hanya sempat membawa keluar tong gas," katanya.
Sementara itu suaminya, Rofli Abdullah, 47, berkata, dia bersyukur kerana isteri dan menantunya selamat walaupun rumah mereka musnah 100 peratus.
Dia yang bekerja sebagai pemandu lori berkata, dia mengetahui kejadian itu selepas dihubungi isterinya.
"Sampai di rumah, tiada apa yang dapat saya buat...semuanya sudah musnah. Kami kini tinggal sehelai sepinggang.
"Namun paling penting saya bersyukur kerana isteri dan menantu selamat. Saya reda dengan ujian ini," katanya.
Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Temerloh, Penolong Penguasa Bomba, Syed Mohsen T Ismail berkata, anggota balai itu dengan bantuan BBP Bukit Angin serta beberapa jentera bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat mengenai kejadian berkenaan.
"Operasi memadam kebakaran tamat pada jam 7.03 petang. Setakat ini punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.