GEORGETOWN - Polis telah membuka 10 kertas siasatan dan menahan lima individu kerana disyaki memuat naik status menghina Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di laman sosial Facebook.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor berkata, polis masih memburu lima individu lagi yang dipercayai masih berada dalam negara.
Menurutnya, lima yang ditahan kini dalam siasatan dan direman sebelum dirujuk kepada pihak pendakwaraya sama ada akan dituduh di mahkamah atau sebaliknya.
"Kita telah membuka 10 kertas siasatan dan menahan lima individu. Belum ada tangkapan baru dan mereka yang ditahan itu kini direman untuk siasatan. Tunggu keputusan dari pihak pendakwaraya.
"Polis masih memburu lima lagi dan kita percaya mereka masih berada di negara ini," katanya ketika ditemui media selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Pulau Pinang di Ibu Pejabat Polis Pulau Pinang di sini hari ini.
Semalam, dua lelaki masing-masing ditahan di Sandakan, Sabah dan Sungai Buloh, Selangor ditahan kerana menghina Seri Paduka.
Sebelum itu, menahan seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun kerana memuat naik status menghina Seri Paduka di laman sosial Facebook.
Ditanya mengenai lelaki yang ditahan kerana menghina Seri Paduka yang dikatakan sakit mental, Mazlan berkata, perkara itu akan ditentukan di mahkamah kelak.
"Dia jawab di mahkamah kemudianlah, dia boleh mendakwa dia sakit apa pun. Terpulang kepada pihak mahkamah untuk tentukan dia sakit mental atau tidak atau sebagainya.
"Pandai dia menulis dalam media sosial, pandai lah dia menjawab di mahkamah nanti," katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan iaitu kecenderungan menghasut dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.
Dalam perkembangan lain, Mazlan berkata, polis dalam proses untuk memanggil penganjur perhimpunan haram yang diadakan di ibu negara selepas pihaknya menerima laporan berhubung perkara itu.
ARTIKEL BERKAITAN Dua lagi individu ditahan hina Agong