PORT DICKSON - Meskipun beberapa negeri di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) kini dilihat mulai goyang dek perubahan landskap politik, namun Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun tetap mempunyai keyakinan 100 peratus bahawa semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PH setia di bawah kepimpinannya.
Menurutnya, beliau yakin dengan pendirian teguh setiap ADUN yang disifatkan mempunyai integriti baik dan prinsip kuat dan bukannya seperti yang berlaku di negeri lain.
"Terima kasih kepada rakan-rakan ADUN dan Exco yang terus beri kepercayaan kepada kerajaan negeri supaya terus stabil.
"Terima kasih juga atas doa rakyat di negeri ini yang mahu melihat kestabilan dan kita sebagai kerajaan negeri akan terus menjalankan tugas dengan baik dan yakin mampu bangunkan negeri ini meskipun dalam suasana tidak menentu hari ini,” katanya.
Beliau berkata, ketika ini, semua wakil rakyat perlu bekerja demi rakyat di negeri ini sekali gus memastikan kestabilan di negeri ini.
"Kita memang yakin dengan keyakinan rakan-rakan yang mempunyai integriti tinggi, setiakawan dan hubungan baik sesama kita. Jika ada sedikit itu biasalah,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis perasmian Stesen Janakuasa Jimah East Power di sini hari ini.
Ditanya mengenai keperluan kerajaan negeri untuk mengadakan pertemuan sekali lagi dengan semua ADUN PH untuk menyatakan sokongan selepas berlaku perubahan politik, Aminuddin berkata, ia tidak perlu.
Berkenaan ramalan netizen di media sosial bahawa PH di Negeri Sembilan juga akan tumbang, Aminuddin menyifatkan ia sekadar ramalan ‘tok nujum’ yang tidak boleh dipercayai.
"Jadi 'tok nujum' itu biasalah, dia suka cerita politik, cerita negara rosak dan negara pintu belakang, dia suka macam itu. Jadi, kita terimalah apa yang berlaku pada negara hari ini disebabkan oleh 'tok nujum' yang suka melagakan-lagakan dan menjadi batu api.
"Saya harap ia harus dihentikan dan kita harus melangkah ke depan terutama dalam suasana negara tidak menentu sekarang dengan krisis ekonomi dan koronavirus (Covid-19).
Jelasnya, paling penting sekarang adalah bagaimana untuk membangunkan semula negara dan bukannya isu politik yang menjadi keutamaan.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan kerajaan Johor dan Melaka di bawah PH tumbang menerusi gabungan Perikatan Nasional yang turut disertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).