KUALA SELANGOR - Dengan hanya bermodalkan RM80, seorang pemuda berusia 20 tahun berjaya membawa pulang wang tunai berjumlah RM60,000 apabila bergelar juara Cabaran Memancing Shimano Surfcasting Challenge di Pantai Remis di sini kelmarin.
Muhammad Nur Syakir Mohd Azuki dari Kuantan, Pahang berjaya menaikkan ikan belukang seberat 1.540 kilogram (kg) pada jam 8.40 pagi, menewaskan lebih 1,800 peserta yang mengambil bahagian dalam pertandingan itu.
Pengurus Wakjali Event Management, Md Zali Kasran berkata, tempat kedua dimenangi Mohd Nor Utoh dari Pontian, Johor yang berjaya menaikkan ikan belukang seberat 1.295kg.
Menurutnya, tempat ketiga pula dimenangi Mohd Muhaimin Mohd Salleh dari Kelantan selepas berjaya menaikkan ikan belukang seberat 1.260kg.
"Mohd Nor membawa pulang wang tunai sebanyak RM10,000 manakala Mohd Muhaimin pula terpaksa berpuas hati dengan hadiah wang tunai sebanyak RM5,000,” katanya di sini semalam.
Hadiah kepada pemenang disampaikan Penolong Pengurus Shimano Asia Tenggara, Kelvin Yiu.
Hadir sama Pengerusi Persatuan Nelayan Sungai Semilang, Datuk Wahab Hamid dan Pemilik Mee Fah Tackle, Quah Pay Ping.
Md Zali berkata, pertandingan anjuran bersama Shimano, OFT Pancing, Mee Fishing dan Wakjali Event Management itu yang pertama diadakan di Selangor.
Katanya, pertandingan seterusnya bagi kategori pantai, Tourism Malaysia Surfcasting Tour akan membuka tirai di Pantai Cahaya Negeri Port Dickson pada 15 Mac ini.
"Acara ini menyediakan hadiah wang tunai sebanyak RM115,700 serta dua motosikal Modenas Kriss sebagai hadiah cabutan bertuah.
"Yuran pertandingan adalah sebanyak RM80 untuk peserta awam, RM60 untuk peserta berumur 60 hingga 65 tahun dan RM40 untuk peserta berumur 65 tahun dan ke atas serta orang kurang upaya (OKU).
"Pihak kami juga dijangka memberikan penyertaan percuma kepada 40 peserta andai penajaan daripada sebuah syarikat korporat menjadi kenyataan,” katanya.
Sebarang pertanyaan lanjut berhubung pertandingan boleh dibuat dengan menghubungi talian 012-2141401, 019-6203040 dan 012-6823479.