LIPIS - Satu siasatan akan dijalankan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berikutan penyebaran gambar seorang petugas PH yang dipercayai mengagihkan wang kepada masyarakat Orang Asli yang tular sejak pagi tadi.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith berkata, SKMM sedang mengenal pasti pemilik akaun media sosial terbabit.
Menurutnya,setakat ini belum ada pihak tampil menjelaskan di mana lokasi gambar itu dirakam, selain motif ia disebarkan.
"SKMM perlukan masa untuk mengenal pasti pemilik akaun berkenaan dan tujuan gambar sedemikian disebarkan kepada orang ramai.
"Buat masa ini, belum ada pihak yang mengaku bertanggungjawab. Ini perkara bersifat spekulasi dan mungkin sengaja diperbesarkan. Mungkin juga bukan seperti tafsiran sebenar apa yang berlaku dalam gambar itu yang kita sendiri pun tidak pasti," katanya.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Bersatu berkata demikian kepada media selepas melakukan lawatan di Bilik Gerakan PH di Felda Sungai Koyan 3, hari ini.
Mengulas lanjut mengenai beberapa keping gambar yang mula tersebar di media sosial hari ini,beliau menegaskan isu terbabit tidak akan menjejaskan kempen yang sedang rancak dijalankan jentera PH sejak semalam.
Ujarnya, beliau sudah meminta semua petugas PRK Cameron Highlands supaya lebih berhati-hati dan melakukan kempen dengan tersusun serta berintegriti.
"Kita kalau nak gunakan kelebihan yang ada, sudah pasti kita akan kerahkan jentera kerajaan untuk bantu berkempen... tapi, itu bukan cara PH dan kita (pucuk pimpinan) pun sudah menyatakan dengan jelas bahawa kita tidak akan ulangi apa yang regim lama lakukan.
"Jadi, kalau jentera kerajaan pun kita tidak guna takkan kita akan gunakan wang untuk dapatkan sokongan daripada pengundi.
"Tidak mengapalah, kita tunggu dulu siasatan oleh SKMM lengkap dan tengoklah apa yang boleh kita ambil selepas siasatan selesai," katanya lagi.