SHAH ALAM - Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menyifatkan pihak yang mendakwa kerajaan Perikatan Nasional menggunakan pintu belakang bagi membentuk kerajaan sebagai terdesak dan gila kuasa.
Menerusi ciapan di Twitternya, beliau berkata, ramai tidak sedar Pakatan Harapan (PH) yang lemah telah 'membakar rumah mereka sendiri'.
"Yang banyak cakap pasal pintu belakang ini adalah orang yang terdesak dan gila kuasa. Mereka tidak sedar kerajaan PH yang lemah telah bakar rumah mereka sendiri," katanya.
Beliau berkata demikian sebagai membalas ciapan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kangar, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya yang memberikan respons terhadap pengguna media sosial bernama Penjejak Awan yang berkongsi rakaman video ucapan Presiden parti itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Perhimpunan Agung UMNO 2019 berkaitan kerajaan pintu belakang.
Fathul Bari dengan nada berjenaka menyatakan semua pihak masuk Istana Negara menggunakan pintu satu dan pelantikan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan telah selesai.
"Mana ada pintu belakang. Semua masuk Istana (Negara) pintu depan nombor satu. Pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin pun telah selesai. Jadi, pandang ke depan," katanya.
Rakaman video berdurasi 37 saat itu, Ahmad Zahid menyatakan bahawa Muafakat Nasional tidak mengimpikan perubahan kerajaan melalui pintu belakang walaupun ia terbuka dengan wang.
"Mood ketika ini ialah melalui pintu depan dan belakang tetapi kita memilih pintu hadapan. Insya-ALLAH, kita bina kerajaan sendiri mengikut lunas-lunas demokrasi seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,"katanya.