Kasihan ahli politik menangis hilang jawatan

Iklan

ALKISAH seorang wakil rakyat di sebuah negeri menangis teresak-esak apabila mengetahui dirinya mungkin kehilangan jawatan Exco ekoran peralihan kuasa di Putrajaya.

Menangis adalah normal sebagai respons kepada kegembiraan, kesakitan, tekanan, kesedihan ataupun kekeliruan.

Iklan
Iklan

Kawan-kawan Merak Jalanan juga ramai yang menangis apabila hilang pekerjaan di sebuah syarikat tahun lalu. Ada yang menangis kerana terbayangkan masa depan yang gelap tanpa sumber pendapatan, ada pula yang menangis kerana kecintaan mendalam terhadap kerjaya berkenaan.

Hilang jawatan dan pekerjaan adalah realiti pahit dalam keadaan ekonomi negara yang kurang bagus sekarang. Hampir 100,000 rakyat Malaysia dikatakan bakal hilang kerja jika wabak koronavirus Covid-19 berterusan sehingga hujung tahun ini.

Iklan

Malah, seorang bekas menteri yang pernah menjanjikan sejuta peluang pekerjaan dalam tempoh lima tahun jika partinya menang Pilihan Raya Umum ke-14, juga hilang kerja sebagai menteri minggu lalu.

Exco yang menangis itu mungkin sedih disebabkan tidak lagi dapat menyumbang khidmat kepada negerinya. Namun, dia hanya hilang jawatan Exco berserta gaji dan elaun-elaunnya, tetapi masih boleh berkhidmat sebagai wakil rakyat biasa.

Iklan

Peristiwa ini membuatkan Merak Jalanan teringatkan kisah dua pemimpin terkemuka dalam sejarah Islam iaitu Umar bin Al-Khattab dan Umar bin Abdul Aziz. Kedua-duanya bukan menangis sebab hilang jawatan, tetapi menangis sebaik dilantik menjadi pemimpin kerana memikirkan betapa beratnya tanggungjawab yang dipikul.

Bak kata Sasterawan Negara, A. Samad Said, sebaik-baik pemimpin ialah yang sentiasa memberi, bukan menerima. Kepada ahli politik tadi, jadilah pemimpin berjiwa besar, yang kehilangannya akan ditangisi orang, bukannya menangisi jawatan yang hilang.