TERLEBIH dahulu Awang nak ucapkan tahniah pada Tan Sri Muhyiddin Yassin yang baru dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia kelapan. Ini semua kerja ALLAH.
Siapa yang sangka orang yang pernah dibuang oleh Bossku Tuk Seri Najib akan jadi PM? Siapa pula yang sangka, salah seorang pengasas Parti Bersatu akan tinggalkan mantan Boss Parti Bersatu dan buat gabungan lain?
Awal-awal lagi Tan Sri PM dah kata, dia bukan pengkhianat. Awang rasa kenyataan itu akan diingat orang daripada yang lain-lain. Macam yang kita dugalah, semua orang akan petik cakap beliau"Saya bukan pengkhianat” di mana-mana sahaja. Pengkhianatkah beliau?
Awang hanya ada sikit nasihat pada Tan Sri PM. Jaga negara baik-baik. Belajar daripada kesilapan orang terdahulu. Belajar juga kebaikan daripada PM yang dulu-dulu. Dah jadi PM banyak kuasa. Boleh kontrol semua. Orang nak nasihat pun tak berani. Telinga pun dah tertutup untuk dengar nasihat orang.
Banyak pulalah tukang bisik di sekeliling pemimpin macam dia. Mereka ini ada kepentingan sendiri. Masa TS PM jatuh tak ada siapa yang peduli. Sekarang ini banyaklah yang serbu macam kelkatu. Pada masa yang sama, orang keliling janganlah berlagak hebat. Macam samurai mengawal Boss. Jadi sombong dan angkuh.
Awang juga nak nasihatkan Tan Sri PM, pada kedudukan itu banyaklah orang bisnes dan yang berduit yang nak jadi penyokong. Ingatlah kepentingan bisnes besar jangan diutamakan. Awang tahu TS PM banyak kenalan bisnes tapi dahulukan rakyat. Buatlah keputusan yang untungkan rakyat, bukan yang untungkan bisnes besar.
Tan Sri PM minta peluang untuk dia buat kerja. Rakyat boleh bagi peluang itu tapi jangan salah guna peluang yang ada.
Pilihlah mereka yang bersih
Awang juga nak nasihatkan Tan Sri PM, pandai-pandailah memilih anggota Kabinet. Ingatlah apa mandat yang diberikan oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum 2018. Mereka tolak pemimpin korup. Mereka tolak parti yang tak hargai rakyat. Tan Sri PM nampaknya kena bekerja dengan macam-macam pihak termasuk parti yang ditolak rakyat pada PRU14.
Pilihlah anggota Kabinet yang betul. Nak cari yang 100 peratus bersih mungkin susah tapi janganlah rosakkan kepercayaan rakyat dengan memilih orang yang salah. Rakyat akan hukum kerajaan Tan Sri PM nanti.
Awang terkejut bila seorang pemimpin parti UMNO yang sedang jalani perbicaraan kata dia minta dikecualikan daripada perbicaraan kerana bincang hal penubuhan Kabinet dengan PM baharu. Mujurlah keluar kenyataan Pejabat PM yang PM baharu tak ada perbincangan tentang itu. Awang bukan peguam tapi jelas ini tindakan yang boleh dianggap menghina mahkmah.
Jenis yang macam inilah yang Tan Sri PM patut elakkan. Jangan sampai oleh sebab nila stitik rosak susu sebelanga. Jangan kerana nak berkuasa terpaksa kompromi kes mahkamah. Ada orang dah jangka ada kes besar yang mungkin digugurkan oleh sebab kompromi kuasa tadi. Mudah-mudahan tak berlaku.
Awang tak percaya Tan Sri PM akan buat begitu. Tan Sri PM tahu bahawa proses undang-undang mesti berjalan. Orang yang didakwa mesti terus didakwa. Orang yang sabit salahnya mesti dijatuhkan hukuman. Tiada siapa di atas undang-undang.
Jangan kerana nak kekal berkuasa, Tan Sri PM terpaksa korbankan prinsip. Rakyat akan perhatikan tindakan PM baharu kita.