SHAH ALAM - Krisis antara pucuk pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menjadi faktor situasi kurang menyenangkan dalam kalangan ahli akar umbi.
Exco Armada Nasional, Mahathir Mohd Rais dan Ketua Armada Terengganu, Syaiful Irfan Anang dalam satu kenyataan bersama berkata, isu dalaman parti tidak sepatutnya dibincangkan secara terbuka.
Sehubungan itu mereka mendesak pucuk pimpinan parti secara profesional dan berjiwa besar.
"Ramai ahli akar umbi menyokong kepimpinan serta kewibawaan Presiden parti Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Malaysia yang kelapan.
"Penerimaan rakyat terhadap pelantikan beliau adalah jelas. Kami percaya kaedah peralihan kuasa kerajaan berjalan mengikut proses demokrasi berperlembagaan," katanya.
Melalui kenyataan itu juga Mahathir berkata, tindakan berkempen dan protes di jalanan adalah satu tindakan kurang bijak serta merugikan.
Menurutnya, undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri boleh dilakukan pada masa dan tarikh yang ditetapkan nanti.
Beliau berkata, pucuk pimpinan parti perlu kembali fokus kepada dasar pembentukan negara yang ke arah lebih progresif dan mampan dalam konteks ekonomi, sosial serta kestabilan politik.
"Kami juga menyambut baik saranan Ayahanda Tun (Dr Mahathir Mohamad) bagi mengetepikan perbezaan politik buat masa ini. Fokus kepada pemulihan semula ekonomi negara demi kesejahteraan rakyat Malaysia," katanya.