GEORGETOWN- Exco Kesihatan, Dr Afif Bahardin dijangka akan membuat pengumuman khas berhubung karier dan masa depan politiknya petang ini.
Jemputan sidang media khas itu dibuat pembantu khasnya melalui kumpulan WhatsApp Team Media Keadilan PP pada jam 12.10 tengah hari tadi.
Sidang media Solidariti Bersama Dr Afif Bahardin itu akan diadakan di kediamannya di Taman Pauh Jaya, Seberang Jaya pada jam 3.30 petang ini.
Difahamkan, Afif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya akan melepaskan jawatannya sebagai Exco dan ADUN.
Semalam, bekas Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) itu menegaskan akan kekal dalam parti dan komited kepada Pakatan Harapan (PH) yang memenangi mandat untuk mentadbir Pulau Pinang dalam pilihan raya umum.
Afif merupakan antara penyokong bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang pada minggu lalu terlibat dalam gerakan menumbangkan PH.
Dikenali sekarang sebagai Langkah Sheraton, Azmin dan 10 ahli parlimen lain meninggalkan PKR untuk menyertai Bersatu, BN dan PAS menubuhkan kerajaan Perikatan Nasional.