IPOH - Exco Kerajaan Perak dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Abdul Yunus Jamhari ada membuat pertemuan dengan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu di kediaman rasminya pada minggu lalu.
Menurutnya, pertemuan itu melibatkan beliau seorang dan hanya membincangkan isu semasa tanpa menjurus ke arah pembentukan kerajaan baharu di Perak.
"Saya baru berjumpa Menteri Besar di kediamannya minggu lepas dan semalam kami berjumpa di program sama di Kuala Kangsar.
"Tiada perbincangan serius, sebagai Exco memang selalu kena jumpa Menteri Besar untuk bincang urusan kerja dan politik semasa sebab kita nak bagi mesej bahawa kerajaan berjalan dengan baik," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.
Beliau turut mengakui, ada bertemu dan berhubung bersama pemimpin UMNO dan Pas bagi membincangkan situasi politik terkini di negeri ini.
"Sebagai orang lama dalam politik dan rakan dalam Sidang Dewan, saya kira tak jadi apa-apa isu pun sebab kita berkawan dengan semua orang.
"Kami jumpa dan bercakap di telefon sebagai kawan untuk berbincang isu-isu semasa, itu sahaja," katanya.
Ketika ditanya kehadirannya dalam satu majlis yang menyaksikan kira-kira 400 ahli PKR keluar parti pada Isnin lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kurau itu berkata, beliau hadir sebagai tanda solidariti.
Katanya, sebagai pemimpin, mereka perlu menghormati keputusan dibuat ahli akar umbi yang mungkin didorong rasa kecewa selepas melihat situasi politik dalam Pakatan Harapan (PH) mahupun PKR sendiri.
"Saya masih ahli PKR dan setakat ini tetap bersama PH, belum terfikir untuk buat apa-apa pengumuman rasmi lagi," katanya.