SHAH ALAM - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berpesan kepada pemimpin dan pendukung parti itu agar tidak gusar dan berasa kecewa dengan senario politik semasa sebaliknya kembali memperkukuhkan parti.
Anwar dalam satu rakaman video yang disiarkan di Facebooknya berkata, PKR mengambil jalan tegas mengikut landasan perjuangan parti walau diberi peluang untuk 'bersekongkol dengan kelompok lama yang telah merosakkan negara'.
"Dulu ada yang gusar bertanya mengapa saya tidak berkompromi? Saya jawab, saya ada dengar dan dapat menghidu apa yang sedang direncanakan dan mengkhianati perjuangan kita.
"Termasuk yang pertama bahawa landasan kita adalah keadilan, menolak rasuah dan salah guna kuasa.
"Kedua, sementara asas Islam Melayu tidak dipertikaikan dan menjadi asas di negara kita. Kita adalah negara pelbagai kaum dan agama, dan mesti merangkul semua kaum.
"Ketiga, ekonomi negara kita ini tidak seharusnya menghalalkan rompakan oleh segelintir penguasa, tetapi untuk memastikan ekonomi dipacu dengan lebih laju dan meyakinkan, tetapi menjaminkan pengagihan yang adil dan saksama," katanya.
Melalui rakaman video tersebut Anwar berkata, petani, nelayan, pekerja dan penjawat awam terutama di peringkat menengah serta rendah sedang mengalami masalah dan tekanan hidup.
Menurutnya, pemimpin parti tidak boleh membenarkan kekayaan negara terus dirompak oleh segelintir kecil kelompok tertentu.
"Semoga rakan-rakan dapat perkukuhkan sekarang ini usaha memperkuatkan Keadilan (PKR) dan menjaga benteng dan amanah membela nasib rakyat," katanya.
Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, ada pemimpin memilih mengkhianati perjuangan parti apabila bersekongkol dengan pihak yang sebelum ini merosakkan negara.