SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Tenaga Nasional Berhad (TNB) melalui anak syarikatnya, Tenaga Wind Ventures UK Ltd (Tenaga Wind) membeli baki 20 peratus kepentingan dalam dua syarikat tenaga boleh diperbaharui di United Kingdom pada nilai RM99 juta (GBP18.6 juta) secara tunai pada 2 Mac lalu.
Ketua Pegawai Eksekuif TNB, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, melalui pembelian tersebut, TNB kini memiliki 100 peratus aset dan kawalan ke atas GVO Wind Limited dan Bluemerang Capital Limited itu.
Menurutnya, pembelian dilakukan mengikut Perjanjian Pembelian Saham yang dipersetujui bersama vendor, Georg von Opel dan Tanzanite B V & Catalin Breaban pada 28 Februari 2018.
"Dua syarikat berkenaan adalah portfolio Feed-In-Tariff (FiT) angin terbesar di UK yang merangkumi 53 turbin angin sederhana yang beroperasi di darat dengan kapasiti keseluruhan sebanyak 26.1MW.
"Pembelian terbaru ini akan menjadi asas perniagaan tenaga diperbaharui (RE) TNB di peringkat antarabangsa dan akan menjadi pencetus kepada strategi pertumbuhan TNB di pasaran RE di Eropah.
"Ia sejajar dengan strategi kami untuk mengembangkan perniagaan RE yang memanfaatkan aset, kemampuan dan pengalaman yang sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Amir berkata, strategi itu merangkumi penglibatan TNB bagi memperluas peranan dalam landskap dan rantaian nilai RE termasuk pembangunan, pemilikan, operasi serta pengurusan portfolio aset RE.
Menurutnya, pembelian terdahulu (80 peratus kepentingan) menyumbang secara positif kepada kewangan dan objektif strategik TNB.
"TNB secara aktif menguruskan aset ladang angin tersebut sejak pembeliannya pada 2018.
"Aset-aset tersebut menunjukkan prestasi positif dengan menyumbang Pendapatan Sebelum Faedah, Cukai, Susut Nilai, dan Amortisasi (EBITDA) sebanyak RM76 juta (GBP14.4 juta) dengan pertumbuhan margin daripada 62 peratus kepada 74peratus pada tahun lepas,” katanya.