PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan (KKM) menyifatkan tiada keperluan untuk organisasi yang telah dikesan kes positif koronavirus (Covid-19) membuat penutupan pejabat.
Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, adalah memadai sekadar menjalankan disinfeksi atau pembersihan.
Menurutnya, keadaan jangkitan wabak itu di negara ini masih lagi terkawal.
"Tidak perlu tindakan untuk menutup pejabat, langkah yang perlu diambil adalah untuk bersihkan ruang pejabat itu (sahaja)," katanya pada Sidang Media Situasi Semasa Jangkitan Penyakit Covid-19 di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada organisasi yang dikesan wabak itu perlu menutup pejabat atau sebaliknya.
Terdahulu, Wisma Felcra Berhad di Setapak Jaya ditutup serta-merta bermula hari ini hingga 6 Mac ini setelah seorang daripada ahli lembaga pengarahnya disahkan positif Covid-19.
Dalam satu kenyataan hari ini Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohd Nazrul Izam Mansor berkata, semua aktiviti dan operasi di peringkat ibu pejabat dihentikan bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan dan sanitasi dibuat secara menyeluruh.
Dalam pada itu, KKM dengan kolaborasi pihak swasta akan menjalankan perkhidmatan pengambilan sampel Covid-19 di rumah orang awam yang ingin menjalankan ujian pengesanan wabak itu.
Katanya, caj akan dikenakan oleh pihak swasta yang menjalankan ujian tersebut.
"Pengumuman rasmi mengenai perkara ini akan menyusul dalam masa terdekat," katanya.