KOTA BHARU - Polis Kelantan tidak menerima sebarang laporan berhubung rakaman video tular membabitkan seorang wanita yang dipukul sekumpulan lelaki semalam.
Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, pihaknya sedia maklum berhubung penularan itu namun kejadian dipercayai berlaku di Thailand.
"Video tular kumpulan lelaki memukul wanita itu menggunakan dialek Kelantan.
"Hasil semakan mendapati tiada laporan diterima setakat ini dan dipercayai bukan di Kelantan sebaliknya mungkin di Thailand,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.
Terdahulu, menerusi video berdurasi 27 minit menyaksikan seorang wanita dipukul lebih tiga lelaki.
Pada masa sama, heboh di laman sosial mengatakan kejadian itu berlaku di Thailand dan wanita berkenaan dikatakan meninggal dunia akibat dipukul.
Sementara itu, video berkenaan turut dikaitkan dengan pasangan tempatan yang bergaduh dengan isu cinta tiga segi di media sosial namun tidak dapat dipastikan kesahihannya.
Malah di laman sosial juga heboh berhubung berita media Thailand yang melaporkan seorang wanita maut akibat dipukul dan dikaitkan dengan video viral terbabit.