KUCHING - Kerajaan Sarawak menyerahkan kepada kerajaan Pusat sama ada akan meneruskan rancangan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini untuk membentangkan rang undang-undang (RUU) pindaan Perlembagaan Persekutuan berhubung kedudukan Sabah dan Sarawak.
Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg hari ini berkata, walaupun RUU pindaan untuk Fasal 2 Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan itu dirancang untuk dibentangkan kerajaan PH sebelum ini, dalam sidang Dewan Rakyat akan datang, situasi sekarang sudah berubah dengan PH tidak lagi memerintah.
"Dulu memang ada dalam program kerajaan PH untuk membentangkan RUU pindaan itu, tetapi yang dalam sidang Parlimen baru saya tak tahu...kalau dia (kerajaan) nak bentangkan semula bentangkanlah. Kalau dia kerajaan pusat kata tunggu dulu, tunggulah,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran Wawasan Ummah Gemilang Majlis Islam Sarawak 2020-2030 di Dewan Majma di sini.
Menurutnya, kerajaan baharu pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, pastinya mempunyai jangka masa sendiri untuk membawa perkara itu kembali ke Dewan Rakyat.
"Terpulang kepada mereka (kerajaan Persekutuan). Kalau mereka hendak membentangkan pindaan kepada perlembagaan, kita bersedialah. Terpulang kepada mereka,” katanya.
Pada 17 Disember lepas, Datuk Liew Vui Keong yang merupakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu dilaporkan berkata, pindaan Perlembagaan itu akan dibentangkan semula di Dewan Rakyat pada Mac 2020.
Menurut beliau, perkara itu dipersetujui dalam mesyuarat tiga hala antara Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, Abang Johari dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Bagaimanapun, Yang di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof dalam satu kenyataan hari ini berkata, Majlis Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga, Parlimen Ke-14 yang sepatutnya bermula Isnin depan ditunda ke 18 Mei.
Katanya, pemakluman mengenai penundaan tarikh itu telah diterimanya dalam satu surat yang ditandatangani oleh Muhyiddin sebagai Perdana Menteri dan Ketua Majlis mesyuarat. - Bernama