KATAK boleh ditakrifkan mengikut masa dan keadaan. Boleh dianggap paling baik, boleh jadi juga paling jahat. Ada ketikanya katak dilihat sebagai pengkhianat, penderhaka, pembelot, pemusnah. Pada ketika lain, katak juga dikatakan sebagai wira.
Maaf saya tidak bercakap mengenai katak puru, katak betong, katak paya atau mana-mana spesies katak yang kita ketahui. Tidak juga saya berperi mengenai katak tanah yang hidup hanya di atas darat atau katak yang boleh hidup di dua alam.
Saya bukan berkisah tentang haiwan kecil berkaki empat yang lidahnya panjang lagi bercabang untuk membolehkannya menangkap serangga yang melintas di hadapan.
Saya bercakap mengenai insan politik yang meninggalkan parti asal untuk melompat ke parti atau kelompok lain. Sehari dua ini ada sekian banyak katak berkeliaran dan mewarnai sandiwara politik kita. Setiap hari ada sahaja berita mengenai katak-katak politik ini.
Katak telah menonjolkan wajah dan lidah sebenar mereka. Sebelah pagi melompat ke tempat lain, sebelah petang melompat lagi ke tempat lain.
Lucu – juga menyedihkan – politik kita tiba-tiba ditentukan oleh katak! Dulu-dulu kita hanya melihat seekor dua katak. Ketika itu hanya ada seorang dua orang politik yang hobinya melompat parti.
Dia dihentam dan dicerca kaw-kaw oleh rakan separtinya. Tetapi nama pun katak, dia tidak kisah dicerca dan terus melompat. Dia malah menegaskan tidak sedikit pun berasa aib dipanggil katak, sebab menurutnya dia bukan sebarang katak, tetapi dialah katak emas yang diingini oleh setiap kumpulan.
Hari ini orang tidak malu lagi menjadi katak. Memang ada suara-suara mengutuk dan menggelarnya sebagai pengkhianat, penderhaka, pembelot.
Tetapi sang katak tidak kisah sangat tentang kata-kata mencerca itu. Sebab mereka menganggap di sebalik ungkapan pengkhianat dan penderhaka itu, mereka adalah wira yang berani. Mereka adalah pejuang sebenar.
Konon kerana keberanian merekalah sebuah kerajaan yang sah dipilih rakyat boleh runtuh. Kerana ada pembelot kerajaan pusat goyah, kerajaan-kerajaan negeri terumbang-ambing. Kerajaan pilihan rakyat akhirnya diruntuhkan oleh seekor dua katak puru.
Mengapa orang berakal lagi bijak pandai rela mengatakkan diri? Sebab mereka beranggapan merekalah pejuang sebenar. Mereka berkorban untuk rakyat. Mereka akan mendabik dada mereka melompat bukan hendakkan kedudukan, bukan hendak jadi menteri, bukan gilakan apa-apa habuan.
Maka selepas ini kita boleh saksikan katak mana akan mendapat jawatan hebat, katak mana akan menerima habuan sekian-sekian dan katak mana yang akan terus kecewa.
Mereka mendakwa menjadi katak untuk meneruskan perjuangan. Sudah lama berjuang sebagai manusia biasa, tidak ada kesan. Maka lebih baik menjadi katak untuk menjadi pejuang rakyat.
Ini musim katak mengawan. Sana-sini orang mencari dan memujuk katak. Dapat seekor dua katak, kerajaan boleh ditukar. Demikianlah hebatnya sang katak.
Sehari dua ini mungkin ramai lagi katak muncul di sana-sini. Wira-wira katak ini akan terus mewarnai politik kita.
Tetapi sejauh mana katak boleh bertahan? Kalau mengikut hukum alam, katak tidak boleh bertahan lama. Sebab nama pun katak, lompat-melompat memang permainan dia. Hari ini lompat ke kelompok lain, kalau tidak puas hati esok atau lusa dia boleh pula melompat ke tempat lain.
Namun sepandai-pandai melompat pun katak akan kecundang akhirnya. Ke kelompok mana pun dia pergi, katak tetap menjadi mangsa.
Hikayat telah membuktikan katak mati dimakan ular. Kalau ikut lagu dongeng Melayu Bangau Oh Bangau pengakhiran katak amat tragis.
Bait-bait akhir dalam nyanyian klasik itu berbunyi:"Ular oh ular, kenapa makan katak?” Ular menjawab:"Macam mana aku tak makan, katak memang makanan aku!”
Kalau lagu klasik itu dijadikan pedoman, jelaslah sepandai-pandai katak melompat, akhirnya mati ditelan ular. Perihal politik kita selalu ada katak. Selalu juga ada ular!