SHAH ALAM - Penangguhan sidang Dewan Rakyat yang sepatutnya berlangsung pada 9 Mac ini tetapi dianjak ke tarikh 18 Mei hanya memperlihatkan ketakutan blok kerajaan untuk berdepan dengan isu keyakinan ahli-ahli Parlimen.
Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil berkata, tindakan penangguhan itu jelas kelihatan blok kerajaan cuba mengelak perkara ini.
"Jika mereka yakin, sudah tentu sidang Dewan Rakyat yang dijadualkan pada 9 Mac ini akan diteruskan seperti biasa.
"Saya anggap ini hanya memberikan satu kemenangan moral kepada PH (Pakatan Harapan) kerana terbukti Perdana Menteri tidak yakin akan sokongan sehingga terpaksa melewatkan sidang Dewan Rakyat," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Terdahulu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof mengesahkan berhubung penangguhan sidang Dewan Rakyat ke tarikh baharu selepas pihaknya menerima surat pemakluman daripada Pejabat Perdana Menteri.
Menurutnya, surat pemakluman yang ditandatangani Perdana Menteri sebagai Ketua Majlis, memaklumkan bahawa pihak kerajaan memutuskan Majlis Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga, Parlimen Ke-14 yang sepatutnya bermula pada 9 Mac 2020 ditunda kepada 18 Mei 2020 bersamaan 25 Ramadan 1441H.
Fahmi berkata, walau apa pun berlaku, PH bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.
"Sama ada sidang Dewan Rakyat dibuat pada 9 Mac ke, pada 18 Mei atau paling lewat saya difahamkan boleh sampai kepada 5 Jun, saya percaya kami dalam blok pembangkang sentiasa bersedia.
"Kami yakin mempunyai majoriti untuk menyatakan ketidakyakinan terhadap Perdana Menteri kini," katanya yang akur berhubung arahan penangguhan tersebut.
Sementara itu, Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, tindakan penangguhan itu disifatkan sengaja dilakukan kerana Perdana Menteri sebagai Ketua Majlis boleh menggunakan budi bicaranya untuk mengadakan sidang Dewan Rakyat ini secepat mungkin atau paling lewat pada Mei mengikut Peraturan Mesyuarat.
"Penangguhan hanya akan memanjangkan lagi kontroversi yang berlaku sejak seminggu lalu.
"Rakyat juga mahukan penjelasan dari segi legitimasi kedudukan Perdana Menteri walaupun kita tahu dan hormat sepenuhnya pilihan Yang di-Pertuan Agong.
"Malah sebagai ahli Parlimen dan PH, kita juga punya hak untuk menguji angka yang didakwa kedua-dua belah pihak...tiada lagi tempat lain dan kita tak boleh buat di kedai kopi atau di mana-mana dewan kecuali Dewan Rakyat," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Beliau berkata, pihaknya berharap perkara ini dapat dilakukan mengikut prosedur Perlembagaan Persekutuan dan turut mengingatkan rakyat untuk akur dengan arahan penangguhan serta tidak melakukan apa-apa yang boleh menggugat ketenteraman awam.