Perompak yang pandai minta maaf

Iklan
Mungkin dihantui rasa bersalah seorang perompak mengembalikan duit yang dicurinya selepas 10 tahun.

PELIK tapi benar. Sudah dikebasnya duit dan barang mencecah RM50,000 tapi sempat pula membuat permohonan maaf.

Itu antara kisah dan ragam perompak yang mungkin dihantui rasa bersalah dengan perbuatannya atau sengaja mahu tunjuk baik.

Iklan
Iklan

Terbaru dalam kejadian pada 17 Februari lalu, pejabat pendakwah terkenal, Ebit Lew dipecah masuk perompak sebelum melarikan wang dan pelbagai peralatan berjumlah RM50,000.

Bagaimanapun, apa yang mengejutkan si perompak sempat pula meninggalkan nota tertera ayat, 'Ampun ya Pak... saya terpaksa'.

Iklan

Kejadian itu dikongsi sendiri Ebit dah disahkan polis Kajang baru-baru ini.

"Ya ALLAH terkejut sebelum ceramah di Penjara Perlis. Dapat tahu pejabat saya di Bandar Baru Bangi kena pecah.

Iklan

"Lebih RM50,000 juga semuanya. Ya ALLAH, Tuhanku. Pencuri tinggalkan tulisan ini (Ampun ya pak...saya terpaksa)," katanya.

Ternyata kejadian itu bukan sahaja pernah dialami oleh Ebit, malah pernah berlaku di tempat lain sebelum ini. Sinar Harian, berkongsi antara kejadian perompak yang sempat meminta maaf kepada mangsanya.

Bayar semula selepas 10 tahun

Pada awal tahun 2000, sebuah pasar raya dikenali InterAsian Market and Deli di Nashville, Amerika Syarikat didatangi seorang penjenayah lelaki bersenjatakan pistol.

Penjenayah itu mengacukan pistol ke arah petugas kaunter dan terus melarikan wang tunai sebanyak AS$300 (RM1,243). Penjenayah itu gagal diberkas.

Selepas lebih sedekad kejadian itu berlaku, satu perkara yang tidak dijangkakan berlaku.

Seorang lelaki misteri datang ke pasar raya itu dan menyerahkan satu sampul surat dengan tulisan tertera ‘owner’ kepada Somboon Wu iaitu anak lelaki kepada pemilik pasar raya berkenaan.

Wu bersama bapanya, Keosavanh Xayarath menemui nota permohonan maaf tentang rompakan dan melarikan wang berkenaan. Selepas membacanya, mereka menyedari bahawa pengirim itu merupakan perompak yang melakukan jenayah terhadap mereka sebelum ini.

Dua beranak itu kemudiannya memberi penghormatan buat perompak yang disifatkan sudah bertaubat di laman Instagram mereka.

"Kepada lelaki misteri ini, kami maafkan segala kesalahan kamu. Kami tidak fikirkan lagi wang kami. Kamu memberi inspirasi kepada kami dan tindakan kamu menyentuh hati kami. Kami berharap kamu menemui kebahagiaan dalam hidup. Selamat maju jaya kami ucapkan,” tulis mereka.

Seorang perompak mendakwa terpaksa berbuat demikian kerana anaknya sakit.

Kembalikan tali pinggang WWE demi budak autisme

Timothy Vick Jr atau Timmy yang berumur 5 tahun merupakan seorang kanak-kanak lelaki autisme. Pada bulan Oktober, 2018 pula dia dikesan menghidap ketumbuhan pada otak.

Dua penjenayah yang pakar memecah masuk rumah tidak menyangka barang yang dicuri di sebuah rumah iaitu tali pinggang kejuaraan gusti WWE kesayangan Timmy yang dihadiahkan oleh bapanya.

Ayah Timmy, Sergio Moriera amat terkesan dengan kehilangan tali pinggang itu yang disifatkan sebagai satu barangan berharga darinya buat anak kesayangannya itu.

"Saya sanggup buat apa sahaja asalkan kamu pulangkan semula tali pinggang itu supaya Timmy boleh menyimpan tali pinggang itu untuk seumur hidupnya,” tulis Moriera sebagai cara terakhir untuk mendapatkan semula barang tersebut.

Kisah itu mendapat liputan media dan dua penjenayah wanita yang terkesan dengan situasi itu kemudiannya menghantar semula tali pinggang berkenaan.

"Bila saya melihat muka penjenayah itu, mereka menangis dan memohon maaf sambil menjelaskan mereka berjanji tidak terlibat lagi dalam aktiviti penyalahgunaan dadah. Mereka juga gelandangan.

"Cerita ini satu cerita yang benar-benar tidak masuk akal. Kamu tidak akan jangka ia akan terjadi. Jujur saya katakan, saya masih terkejut,” katanya.

Dua perompak wanita mengembalikan tali pinggang gusti selepas tersebar kisah ia barangan kesayangan seorang kanak-kanak austisme.

Jiranku perompak

Ini kes tahun 2018 yang berlaku di Ipoh, Perak. Seorang perompak bukan sahaja meminta maaf secara lisan malah meletakkan nota memohon maaf selepas merompak jirannya di sebuah pangsapuri Jalan Tun Abdul Razak, Ipoh.

Si perompak berusia 29 tahun itu pada mulanya mengacukan pisau ke leher mangsa sebelum menghentak kepala mangsa menyebabkannya hampir pengsan.

Apabila melihat keadaan mangsa lemah, lelaki itu memperkenalkan dirinya bahawa dia jiran di sebelah rumah.

Tetapi sebelum beredar suspek memberitahu mangsa yang dia telah mengambil duit mangsa berjumlah RM1,400 serta meminta maaf.

Sewaktu mengemas rumah selepas kejadian itu, mangsa menjumpai satu nota permintaan maaf yang diletakkan lelaki terbabit di bahagian bawah pintu rumah mangsa.

Keratan Sinar Harian kes seorang perompak memecah masuk kediaman jirannya di Ipoh tetapi meminta maaf.

'Maaf kami curi khinzir anda'

Biarpun dianggap sebagai kisah curi yang lucu, namun kisah kehilangan sebuah patung khinzir dinamakan Choppy mendapat perhatian pada bulan Jun 2019 di Iowa City, Amerika Syarikat.

Sebuah restoran, The Iowa Chop House di bandar itu menyedari bahawa patung kesayangan mereka yang ditempatkan di satu sudut laman di luar restoran telah hilang.

Pemilik restoran itu, George Etre bersama pekerjanya memuat naik berita kehilangan Choppy di laman Facebook restoran berkenaan.

"Kami menyayangi dan merindui Choppy. Kami akan hadiahkan secawan minuman sekiranya Choppy dipulangkan semula,” tulis mereka.

Mereka juga menyatakan mempunyai rakaman kejadian curi itu dan akan mendedahkannya kepada umum sekiranya Choppy tidak dipulangkan.

Tidak lama kemudian, Choppy ‘pulang’ semula ke tempat asalnya sambil disertakan dengan sehelai nota dengan tulisan:"Kami benar-benar bodoh. Maaf kami mencuri khinzir anda. Tolong terima permohonan maaf kami”.

Kepulangan Choppy bukan sahaja menggembirakan pemiliknya tetapi orang ramai yang mengikuti berita kehilangan patung itu.

Sebagai rasa bersyukur, selama seminggu The Iowa Chop House memberikan air percuma kepada pelanggan mereka.

Patung khinzir dinamakan Choppy dikembalikan semula selepas pemiliknya mengugut mahu menyebarkan rakaman video kejadian.

Merompak kononnya kerana anak sakit

Awal Januari lalu, seorang lelaki keluar daripada sebuah premis, Philadelphia Rite Aid di Philadelphia, Amerika Syarikat dengan sejumlah wang curi yang diambil dari mesin juruwang.

Kejadian itu dirakam kamera litar tertutup sambil memperlihatkan lelaki itu meninggalkan sekeping nota.

Sebelum kejadian itu, lelaki itu menghampiri kaunter pembayaran dan menyerahkan nota kepada pekerja.

Nota itu tertera ayat:"Berikan semua wang. Maafkan saya. Saya mempunyai anak yang sakit. Anda hanya perlu 15 saat”.

Selepas juruwang memasukkan sejumlah wang, lelaki itu melarikan diri. Tidak lama kemudian, dia masuk semula dan meminta pekerja itu memasukkan lagi wang ke dalam beg yang dibawa.

Juruwang mengikuti segala arahan dan lelaki itu mengucapkan terima kasih di atas segala kerjasama.

Lelaki itu digambarkan berkulit gelap, berusia dalam lingkungan 30 dan 40 tahun, memakai seluar jeans, berkasut hitam, bersarung tangan gelap, memakai topi dan berbaju hoodie berwarna kelabu.