SPM 2019: GPN Kelantan atasi GP Nasional

Iklan
Abu Hanipah (dua dari kiri) melihat laporan keputusan SPM bagi negeri Kelantan di JPN, Tunjong hari ini.

KOTA BHARU - Kelantan mengekalkan rekod baik dalam pencapaian Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2019 apabila memperoleh Gred Purata Negeri (GPN) 4.84 mengatasi GP Nasional iaitu 4.90.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan, Abu Hanipah @ Fauzi Zahari berkata, sebanyak 44 sekolah menunjukkan Gred Purata Sekolah (GPS) mengatasi Gred Purata Negeri (GPN) dan 85 sekolah pula mencatatkan peningkatan GPS sebanyak 1.80.

Iklan
Iklan

Katanya, seramai dua calon mendapat A+ untuk semua mata pelajaran dan 252 calon mendapat sekurang-kurangnya A- bagi semua mata pelajaran yang diambil.

Menurutnya, jumlah itu mewakili 1.18 peratus keseluruhan calon sekolah kerajaan tahun 2019.

Iklan

"Terdapat 89 sekolah mengatasi peratus calon yang layak mendapat sijil peringkat negeri iaitu 89.71 peratus dengan 30 sekolah mencapai kelulusan 100 peratus, termasuklah lapan sekolah bantuan kerajaan.

"Antara sekolah tersebut ialah Sekolah Menengah (SM) Sains Tengku Muhammad Faris Petra, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Naim Lilbanat, SMK Dato Ahmad Maher dan SMK Ismail Petra," katanya semasa membuat pengumuman tersebut di JPN, Tunjong di sini hari ini.

Iklan

Beliau berkata, sebanyak 55 mata pelajaran diambil calon SPM negeri Kelantan bagi tahun 2019 dan daripada jumlah itu, 29 mata pelajaran yang ditawarkan mencapai kelulusan 100 peratus berbanding 17 mata pelajaran tahun 2018.

Katanya, 27 mata pelajaran menunjukkan peningkatan Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) berbanding tahun 2018 yang mencatat 23 mata pelajaran.

"Terdapat dua sekolah yang mencapai kelulusan 100 peratus bagi semua mata pelajaran iaitu SM Sains Jeli dan SMUA Al Kauthar manakala 19 sekolah pula mencapai kelulusan 85 peratus ke atas," katanya.