Bob Yusof ramai peminat baharu selepas AJL34

Iklan
Bob Yusof
SETELAH lama tidak tampil dengan karya terbaharu, penyanyi Bob Yusof mengakui dirinya seakan dilupakan peminat sehingga penampilannya dalam Anugerah Juara Lagu ke-34 (AJL34) pada Februari lalu kembali menaikkan namanya.

Penangan lagu Anta Permana nyanyian asal Datuk Seri Siti Nurhaliza yang dibawakan oleh Bob atau nama sebenarnya Yusrizan Yusof, 39, di pentas berprestij itu ternyata membuka peluang untuk penyanyi ini tampil dengan single terbaharunya, Dan Hari Ini.

Menurut Bob, lagu ciptaan Sharon Paul dan Hanz Guo Hang dengan tulisan lirik oleh Iman Imran itu dihasilkan menerusi kerjasama antara Werkit Records dan Indigital Music.

Iklan
Iklan

"Saya mengambil masa yang agak lama untuk tampil dengan single baharu kerana menunggu lagu yang sesuai dengan vokal dan penampilan saya.

"Sebenarnya dalam tempoh tiga tahun lalu selepas single Terbuang Dalam Pelukan, saya ada menerima beberapa buah lagu untuk dijadikan single, namun ketika itu saya berasakan belum bertemu dengan lagu yang sesuai.

Iklan

"Alhamdulillah apabila Sharon datang dengan lagu ciptaan terbaharunya, Dan Hari Ini pada Januari lalu, saya terus suka ketika kali pertama mendengar melodinya dan teruja untuk memperdengarkan kepada umum,” ujar Bob yang ditemui pada majlis pelancaran single tersebut di Indigital Music pada Selasa.

Mengambil peluang daripada perhatian yang diperoleh ketika AJL34 lalu, Bob percaya ia merupakan masa terbaik melancarkan buah tangan terbaharunya itu.

Iklan

"Memang saya tak nafikan AJL34 membuka banyak peluang baharu kepada saya sehinggalah membawa kepada penghasilan single ini.

"Menerusi perhatian dan sokongan yang diterima, saya percaya ini adalah masa terbaik untuk saya tampilkan single Dan Hari Ini, sekali gus merangka perancangan baharu dalam kerjaya seni saya.

"Insya-ALLAH kalau ada rezeki, saya berharap karya ini dapat dibawa ke tahap lebih baik, termasuk ke pentas AJL,” kata Bob.

Meski sudah l6 tahun membina kerjaya dalam bidang nyanyian selepas bakatnya dicungkil daripada program realiti Akademi Fantasia musim kedua, Bob mengakui masih belum berada pada kedudukan yang dinginkan dalam industri.

"Perjalanan saya sepanjang bergelar penyanyi selama 16 tahun ini ada naik dan turunnya. Pernah berdepan saat-saat sukar sehingga dua bulan tidak mendapat sebarang undangan persembahan.

"Bagaimanapun saya tidak pernah berputus asa untuk terus berada dalam indusri kerana inilah minat saya. Menyanyi adalah kerja saya.

"Saya percaya jalannya akan sentiasa ada jika kita tidak putus usaha. Alhamdulillah selepas melalui saat-saat sukar, rezeki saya sentiasa menerusi pelbagai bentuk,” kata Bob yang merancang untuk tampil dengan album Irama Malaysia pula selepas ini.