Anwar persoal dari mana Ku Nan dapat kekayaan RM800 juta

Iklan
Rakaman video berdurasi 3 minit dimuat naik di Facebook Anwar malam tadi.

SHAH ALAM - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendapatkan penjelasan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkenaan jumlah hartanya yang mencecah ratusan juta ringgit.

"Hari ini (semalam) kita mendapat kejutan baharu mengenai kekayaan luar biasa oleh pemimpin UMNO di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Iklan
Iklan

"Ternyata dibongkarkan kekayaan yang mungkin mencecah RM800 juta dipunyai oleh bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Tengku Adnan Tengku Mansor,” kata Anwar dalam satu rakaman video yang disiarkan di Facebooknya malam tadi.

Dalam masa yang sama, Anwar berkata, jika benar Perdana Menteri berikrar untuk membersihkan jentera kerajaan, beliau harus meminta penjelasan daripada Tengku Adnan.

Iklan

"Jika benar Perdana Menteri berikrar untuk membersihkan jentera kerajaan, beliau harus meminta penjelasan daripada Ku Nan tentang bagaimana wang begitu banyak dikumpul.

"Dipunggah dari mana? Khazanah rakyat mana, tanah negeri mana, saham peruntukan bumiputera yang mana? Barulah secara jujur kita boleh menyatakan bahawa pemimpin-pemimpin ini adalah pejuang hakiki orang Melayu,” katanya.

Iklan

Melalui rakaman video tersebut, Anwar turut memohon rakyat di negara ini membuka mata dan minda untuk menuntut Perdana Menteri yang baharu memberi penjelasan saksama dan jangan hanya bergelut untuk memperoleh kuasa tetapi tidak memikul amanah.

Semalam, Tengku Adnan mengesahkan kepada Mahkamah Tinggi jumlah hartanya pada 2001 lalu mencecah lebih RM900 juta.

Ketika prosiding bela diri bagi kes rasuah di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan, Tengku Adnan berkata, nilai hartanya pada tahun berkenaan adalah sebanyak RM938,643,566.16 manakala pada 2006 (RM711,325,822), 2013 (RM691,770,649) dan 2016 (RM782,748,061).

ARTIKEL BERKAITAN: Aset Ku Nan lebih RM900 juta pada tahun 2001