Dua rakan didakwa cabul, rogol dan samun remaja

Iklan
Dua rakan didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh kerana mencabul, merogol dan menyamun seorang remaja perempuan berusia 19 tahun.

MELAKA TENGAH - Dua rakan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini atas tuduhan mencabul, merogol dan menyamun seorang remaja perempuan berusia 19 tahun pada minggu lalu.

Low Swang Kiat, 46, dan S Kalaiarasan, 21, membuat pengakuan itu sejurus semua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Norma Ismail.

Iklan
Iklan

Bagi tuduhan cabul, Swang Kiat didakwa mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat jika sabit kesalahan.

Sementara Kalaiarasan yang didakwa merogol mangsa berdepan hukuman penjara minimum lima tahun, maksimum 30 tahun serta boleh dikenakan sebat mengikut Seksyen 376 (2) Kanun Keseksaan.

Iklan

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan tertuduh pada jam 6.30 pagi di sebuah kedai di Taman Kenanga, Lorong Pandan di sini pada 29 Februari lalu.

Dua rakan itu turut didakwa melakukan samun berkawan bersenjata menggunakan sebilah parang terhadap remaja itu dengan merampas wang tunai bernilai RM1,800, kad tambah nilai, aksesori telefon bimbit jenama Asus serta sebuah beg mengandungi barangan peribadi mangsa.

Iklan

Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara 20 tahun dan boleh dikenakan sebat mengikut Seksyen 395/ 397 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mazuin Hashim memohon tiada sebarang jaminan dibenarkan namun kedua-dua tertuduh yang merupakan penganggur merayu agar jaminan dikurangkan.

Mendengar rayuan kedua-dua pihak, Norma tidak membenarkan jaminan terhadap Kalaiarasan atas pertuduhan merogol manakala Swang Kiat dibenarkan diikat jamin sebanyak RM20,000 berserta syarat tambahan tidak boleh mendekati mangsa dan perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap bulan sehingga kes selesai.

Bagi kesalahan samun, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 bagi setiap mereka.

Norma kemudian menetapkan 6 April depan sebagai sebutan semula kes.