Tiada jawatan TPM dinyatakan dalam Perlembagaan

Iklan
Dr Nik Ahmad Kamal (kiri) dan Dr Shad Saleem Faruqi

SHAH ALAM - Tiada sebarang peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan keperluan mewujudkan jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) dalam penubuhan sesebuah kerajaan di negara ini.

Sebaliknya, pakar perlembagaan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood menegaskan keputusan pelantikan jawatan itu adalah atas budi bicara Perdana Menteri di bawah nasihat Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Iklan
Iklan

Menurutnya, secara spesifik, keputusan pelantikan jawatan TPM bergantung atas keperluan kerajaan semasa memandangkan kewujudan jawatan itu selama ini adalah bersandarkan amalan lantikan tradisional sejak zaman merdeka lagi.

"Jawatan TPM memang tidak dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan, sebaliknya hanya keperluan pelantikan barisan Kabinet sahaja yang diperuntukkan atas budi bicara Perdana Menteri.

Iklan

"Kebiasaannya, fungsi utama TPM adalah untuk memangku urusan pentadbiran kerajaan dalam tempoh sementara sekiranya Perdana Menteri mempunyai urusan di luar negara atau mengambil cuti sakit.

"Bagaimanapun, TPM yang memangku jawatan Perdana Menteri hanya memiliki kuasa terhad berbanding Perdana Menteri dengan beliau hanya dibenarkan membuat keputusan terhadap perkara-perkara tertentu sahaja,"katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Iklan

Nik Ahmad Kamal berkata, pihaknya turut merujuk kepada Akta Fungsi-fungsi Kementerian di mana akta itu hanya menekankan terhadap aspek pelantikan menteri kabinet secara rasmi dengan fungsi menteri perlu dicatatkan dalam bentuk pewartaan.

Menurutnya, Akta Fungsi-fungsi Kementerian turut tidak menyentuh penekanan terhadap aspek lantikan TPM dan ia membuktikan jawatan TPM bukan satu keperluan dalam sesebuah kerajaan di Malaysia.

"Cuma dalam konteks sebuah pakatan politik memerintah negara dan bukan terdiri satu parti dominan menguasai majoriti kerusi Parlimen, saya fikir penting untuk kerajaan Perikatan Nasional di bawah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk melantik TPM.

"Sebagai contoh, dalam PN, kita dapati kerusi Parlimen dimiliki UMNO adalah terbanyak berbanding parti lain, jadi saya berpendapat tidak salah Perdana Menteri menyerahkan jawatan TPM kepada UMNO sebagai menghormati kerjasama pakatan baharu antara mereka," katanya.

Nik Ahmad Kamal turut menyifatkan cadangan pelantikan lebih daripada satu jawatan TPM dalam kerajaan Perikatan Nasional boleh dipertimbangkan dan tidak menyalahi peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, cadangan itu bagi mengiktiraf fungsi parti-parti lain yang memainkan peranan penting untuk pembentukan kerajaan Perikatan Naaional seperti Pas dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

"Cadangan lantik lebih satu TPM tidak semestinya relevan, tetapi boleh dipertimbangkan untuk semua parti dalam Perikatan Nasional mendapat jawatan penting. Tiada masalah TPM lebih seorang," katanya.

Pandangan sama turut dikongsi seorang lagi pakar perlembagaan dari Universiti Malaya (UM), Profesor Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi yang bersetuju pelantikan jawatan TPM bukan satu kemestian diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun, beliau berpendapat dari sudut kerjasama pakatan Perikatan Nasional membentuk kerajaan baharu ketika ini, kegagalan pelantikan TPM akan menjejaskan hubungan parti-parti bekerjasama dari aspek moral.

"Segalanya bergantung kepada budi bicara dan kebijaksanaan Perdana Menteri.

"Berkemungkinan juga kita akan menyaksikan banyak perubahan kepada fungsi kementerian dengan beberapa kementerian akan diwujudkan kembali seperti Kementerian Pengajian Tinggi," katanya.

Semalam, Sinar Harian melaporkan Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) mengesyorkan kerajaan Perikatan Nasional mewujudkan tiga jawatan TPM dengan masing-masing diwakili dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Presiden Mubarak, Tan Sri Dr Abdul Aziz Rahman berkata, langkah itu mampu mencerminkan intipati ucapan pertama Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berikrar menjadi pemimpin untuk semua rakyat Malaysia.

Menurutnya, ia secara tidak langsung akan memperkemaskan lagi barisan kepimpinan negara.