Buta bukan penghalang berjaya SPM

Iklan
Aidit (tengah) dipeluk ibu dan bapa tirinya selepas diumumkan sebagai calon cemerlang SPM bagi kategori cacat penglihatan (buta) peringkat negeri Johor di SMK Mutiara Rini, di sini hari ini.

JOHOR BAHRU - Seorang pelajar yang mengalami masalah penglihatan membuktikan kekurangan bukan halangan untuk mendapat keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2019 yang diumumkan hari ini.

Pelajar Maktab Sultan Abu Bakar, Aidit Iskandar Samsir, 18, mendapat keputusan 3A-, 2B, 1C+ dan 1C sekali gus membolehkannya dinobatkan anugerah pelajar cemerlang SPM bagi kategori kurang upaya penglihatan (buta) peringkat negeri Johor.

Iklan
Iklan

Ibunya, Mariah Badr, 58, mengakui Aidit seorang yang komited terhadap pelajarannya tidak dapat menahan sebak di atas kejayaan cemerlang Aidit dan berharap agar anak mereka dapat melanjutkan pengajian di universiti.

"Aidit tidak dapat melihat sejak dilahirkan, namun semangatnya cukup kuat untuk belajar selain pandai bermain gitar," katanya.

Iklan

Mariah berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Sidang Akhbar Keputusan SPM dan Anugerah Cemerlang SPM, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2019 oleh Pengarah Pendidikan Negeri Johor, Azman Adnan di Sekolah Menengah Kebangsaan ( SMK) Mutiara Rini di sini hari ini.

Aidit yang merupakan anak kepada pasangan peneroka Felda Redong 1, Segamat ini berkata, keputusan itu merupakan hadiah bermakna buat ibunya dan ayah tirinya, Mohamad Atan, 74.

Iklan

Aidit berkata, sejak berusia 7 tahun, dia sudah berjauhan dengan keluarganya di Segamat kerana perlu tinggal di asrama di Sekolah Kebangsaan (SK) Pendidikan Khas Princess Elizebeth, Johor Bahru.

Anak bongsu daripada tujuh beradik yang bercita-cita menjadi pakar undang-undang ini menjadikan Allahyarham Prof Datuk Dr Ismail Md Salleh yang merupakan Ahli Dewan Negara pertama dalam kalangan orang buta sebagai idolanya.

Raudhatunnadiah (tengah) yang mendapat 9A+ bergambar bersama keluarga pada majlis pengumuman keputusan SPM peringkat negeri Johor di SMK Mutiara Rini di sini hari ini.

Bagi calon cemerlang SPM dari SMK Mutiara Rini, Raudhatunnadiah Ruzairi yang memperoleh 9A+, dia bersyukur atas kejayaan yang diperoleh.

Anak kepada pensyarah Universiti Teknologi Malaysia ( UTM) ini berkata, sikap tidak lokek berkongsi ilmu dengan sering memberi tunjuk ajar kepada rakan-rakan menjadi rahsia kejayaan dalam SPM.

Sementara itu, Azman berkata, seramai 56 calon mendapat semua A+ pada tahun ini berbanding hanya 16 calon tahun sebelumnya dengan 52 buah sekolah mencapai kelulusan 100 peratus pada tahun ini.

"Sekolah Tun Fatimah Johor Bahru menunjukkan prestasi cemerlang bagi kategori asrama penuh dengan 26 pelajar mendapat semua A+ dan 100 pelajar mendapat semua A.

Calon cemerlang SPM negeri Johor bergambar selepas menerima sijil pada Majlis Pengumuman SPM Peringkat Negeri Johor di SMK Mutiara Rini di sini hari ini.

"Bagi kategori sekolah harian biasa, SMK Jesus Convent Johor Bahru merekodkan seramai 56 calon cemerlang yang mendapat semua A," katanya.

Pada majlis itu, seramai 56 pelajar mendapat anugerah cemerlang SPM negeri Johor.