PUTRAJAYA - Penundaan takwim persidangan Dewan Rakyat bagi Penggal Ketiga, Parlimen ke-14 dibuat setelah mengambil kira pelbagai faktor, terutama berkaitan pelantikan barisan menteri dan timbalan menteri yang sedang dimuktamadkan, demikian menurut Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Takwim Parlimen bagi Penggal Ketiga, Parlimen Ke-14 telah ditunda daripada 9 Mac kepada 18 Mei.
Iklan
Iklan
JPM dalam kenyataan hari ini menyebut penundaan itu adalah untuk memberikan masa yang munasabah bagi membolehkan barisan Kabinet memahami tugas kementerian dan jabatan masing-masing.
"Ia juga membolehkan menteri-menteri yang dilantik bersedia untuk menjawab soalan Waktu Pertanyaan Menteri (MQT); pertanyaan lisan; perbahasan; pembentangan rang undang-undang dan usul-usul apabila Parlimen bersidang,” kata JPM.
Penundaan turut memberi peluang kepada ahli Parlimen untuk mengemukakan pertanyaan jawab lisan dan bukan lisan serta usul baharu agar relevan dengan isu semasa negara, katanya.
Menurut JPM, penyediaan takwim Parlimen bagi Penggal Ketiga, Parlimen Ke-14 dilaksanakan berdasarkan peraturan-peraturan majlis mesyuarat yang berkaitan dan ia turut disahkan teratur oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof.
"Institusi Parlimen hendaklah dihormati oleh segenap lapisan rakyat, termasuk oleh ahli-ahli Parlimen sendiri," kata JPM.- Bernama