SHAH ALAM - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin diingatkan tidak menjadi seperti kerajaan Barisan Nasional (BN) yang meminggirkan kebajikan dan peruntukan di negeri pembangkang.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, perubahan di peringkat Pusat tidak membimbangkannya namun berharap kerajaan baharu bersikap adil dan profesional.
"Saya harap semangat profesionalisme dalam kalangan penjawat awam dan pemimpin Pusat dikekalkan.
"Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini sudah buktikan dalam tempoh 22 bulan mentadbir negara tak meminggir atau memberi layanan anak emas kepada mana-mana negeri," katanya pada sidang akhbar bersama pemimpin PH di kediaman rasminya di Seksyen 7 di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan media mengenai hubungan kerajaan Pusat dengan negeri selepas perubahan pemerintahan yang bukan lagi di bawah PH.
Amirudin turut meminta Perdana Menteri mengotakan janji dengan perbuatan dan bukan sekadar mengeluarkan kata.
"Kalau Tan Sri Muhyiddin nak jamin kerajaan berintegriti bukan hanya dengan kata-kata saja tapi perlu disusuli tindakan dan teruskan polisi yang diamalkan PH sebelum ini.
"Bukan menyamai apa yang dilakukan oleh BN dahulu yang agak keras, tidak bertanggungjawab malah membuli kerajaan negeri," katanya.