KETUA Jurulatih Kelantan, Yusri Che Lah tidak mahu barisan pemainnya menjadikan aksi pada sebelah petang sebagai alasan buat mereka gagal mengutip mata di gelanggang lawan.
Justeru, Yusri berkata, skuad The Red Warriors diingatkan agar tidak hilang tumpuan apabila berdepan UKM FC pada aksi kedua Liga Premier di Stadium Majlis Perbandaran Selayang petang ini.
"Bagi saya, waktu sepak mula perlawanan tidak penting. Semuanya bergantung kepada sikap pemain-pemain itu sendiri. Mereka perlu merencanakan corak permainan bermutu untuk memperoleh keputusan yang positif," katanya semalam.
Dalam pada itu, Yusri mengingatkan anak-anak buahnya supaya tidak memandang rendah terhadap UKM FC kerana pasukan berstatus kelab itu membuktikan peningkatan yang baik dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).
"Pada perlawanan pembukaan liga, UKM FC menunjukkan prestasi yang baik sehingga mampu memperoleh tiga mata. Saya melihat pasukan itu bukan mudah untuk ditewaskan," katanya.
Yusri turut memberitahu, anak-anak buahnya perlu bijak mengatur gerakan dalam tempoh 90 minit perlawanan yang disifatkan agak sukar apabila beraksi di tempat lawan.
"Kurangkan melakukan tindakan yang memberikan kesan tidak baik kepada pasukan, manfaatkan peluang yang ada dan cuba sedaya upaya mempertahankan gawang daripada dibolosi dengan mudah,” katanya.
Pada aksi pembukaan Liga Premier Sabtu lalu, Kelantan terpaksa berpuas hati berkongsi satu mata dengan Kuala Lumpur apabila mencatat keputusan seri 1-1 di Stadium Sultan Muhammad lV, Kota Bharu.