KEMELUT politik negara masih belum selesai sepenuhnya walaupun Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin sah menjadi Perdana Menteri kelapan dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Ahad lalu.
Krisis dan pergolakan politik yang melanda negara selama tujuh hari bermula 23 Februari lalu menyebabkan rakyat menjadi keliru. Setiap hari mereka akan dihidangkan dengan sandiwara politik yang bagaikan tiada kesudahan seperti adegan lompat parti, perebutan kuasa, pertikaian pelantikan menteri besar atau ketua menteri dan usul undi tidak percaya di Dewan Rakyat.
Ramai penganalisis berpendapat krisis politik yang berlaku sekarang tidak akan selesai dengan pembentukan kerajaan Perikatan Nasional yang dianggap kerajaan ‘pintu belakang’ kerana tidak melalui Pilihan Raya Umum (PRU). Ideanya barangkali cantik tetapi pelaksanaannya tidak mudah kerana berkongsi kuasa umpama berpoligami. Masing-masing mahu keistimewaan dan hak yang lebih.
Contohnya di Melaka, belum apa-apa, Perikatan Nasional di negeri itu sudah bergolak apabila menarik balik kerjasama dengan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu membabitkan Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen (Paya Rumput) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Telok Mas).
Kedua-dua ADUN berkenaan dikatakan cuba mengetepikan peranan 13 ADUN Barisan Nasional (BN) dalam usaha membentuk kerajaan negeri yang baharu. Ada pula yang mengatakan konflik berlaku akibat tidak puas hati dengan calon Ketua Menteri yang bakal mengangkat sumpah Isnin ini.
Timbul persoalan, bagaimana pula dengan senarai Kabinet yang akan diumumkan oleh Muhyiddin nanti? Apakah semua pihak dalam Perikatan Nasional akan berpuas hati? Kalau tidak puas hati, apakah yang akan berlaku seterusnya? Apakah akan berlaku konflik lagi? Ini kerana timbul pelbagai spekulasi mengenai pelantikan anggota Kabinet.
Sebarang krisis dan pergolakan perlu ditangani dengan cepat dan berkesan demi rakyat dan negara. Kepentingan negara hendaklah diutamakan, mengatasi kepentingan parti dan puak tertentu yang punya agenda tersendiri.
Namun tidak mustahil kita akan menyaksikan banyak lagi drama selepas ini kerana gabungan politik yang ada pada hari ini sangat rapuh sifatnya.