KUALA LUMPUR- Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menafikan dakwaan terdapat kes Covid-19 di Pangkalan Udara Subang dan Kementerian Pertahanan (Mindef), di sini.
Perkara berkenaan disahkan oleh Panglima ATM Jen Tan Sri Affendi Buang ketika dihubungi Bernama hari ini.
"Perkara itu tidak benar. Sebenarnya Panglima Operasi TUDM ada mengadakan lawatan di sebuah hospital swasta di Subang yang terdapat kes pesakit Covid-19 ditempatkan di situ.
"Beliau, bagaimanapun telah diperiksa dan dikuarantin sebagai langkah berjaga-jaga dan dia disahkan bebas daripada jangkitan Covid-19. Perkara ini telah disalah tafsir," katanya.
Dalam pada itu, Affendi turut menafikan terdapat kewujudan mesin pengimbas suhu badan di bangunan Mindef.
"Saya sendiri ada di Mindef, takkan saya tidak tahu mengenai perkara berkenaan (pengimbas suhu badan). Jadi ia tidak tepat," katanya.
Terdahulu, tersebar di aplikasi WhatsApp kononnya berlaku penularan wabak Covid-19 dalam kalangan anggota pasukan keselamatan itu yang mengambil langkah berjaga-jaga khususnya di Pangkalan Udara Subang serta kewujudan mesin pengimbas suhu badan di Tingkat 18 bangunan Mindef. - BERNAMA