Sah Latheefa Koya lepaskan jawatan

Iklan
Latheefa mengesahkan telah menghantar surat peletakan jawatannya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM kepada Perdana Menteri semalam.

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Latheefa Koya mengesahkan telah menghantar surat bagi melepaskan jawatannya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dalam kenyataannya Latheefa berkata, surat berkenaan diserahkan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin lalu.

Iklan
Iklan

"Saya serahkan kepada Muhyiddin untuk menyampaikan hasrat meletakkan jawatan, bagaimanapun ia tertakluk kepada kelulusan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah," katanya.

Menurutnya, beliau juga sudah bertemu Perdana Menteri semalam bagi menyatakan hasratnya itu dan turut memberi taklimat mengenai usaha SPRM membawa pulang wang syarikat 1MDB yang diseleweng di luar negara.

Iklan

"Beliau menyokong penuh tindakan ini," katanya.

Latheefa berkata, beberapa pertemuan turut diadakan dengan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi), Datuk Seri Azam Baki serta beberapa pengarah lain bagi memastikan penyerahan tugas berjalan lancar.

Iklan

"Ia adalah amalan biasa di SPRM," katanya.

Dalam pada itu, Latheefa, 47, menolak spekulasi bahawa wujud tekanan terhadapnya bagi melepaskan jawatan itu.

"Ia adalah keputusan saya sendiri. Hasrat saya adalah untuk kembali bertugas sebagai peguam bela," katanya.

Sementara itu, beliau merakamkan ucapan terima kasih kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan pegawai SPRM serta rakyat yang memberi sokongan kepadanya.

"Saya yakin SPRM tidak akan berkompromi dan berupaya memerangi rasuah, tanpa mengira kedudukan atau kesetiaan politik para pelaku," katanya.

Semalam, khabar angin Latheefa melepaskan jawatannya bertiup kencang apabila sumber memaklumkan beliau bertemu dengan Muhyiddin pada sebelah pagi sebelum ke mahkamah sebagai saksi ke-13 pembelaan bagi kes perbicaraan penyelewengan dana SRC International membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Latheefa dilantik memegang jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM untuk tempoh kontrak selama dua tahun berkuat kuasa 1 Jun lalu.

Pelantikan Latheefa adalah selaras dengan Subseksyen 5(1) Akta SPRM 2009 dengan diperkenankan Yang di-Pertuan Agong.

ARTIKEL BERKAITAN: Timbul desas-desus Latheefa Koya letak jawatan