Majlis hari jadi bertukar majlis tahlil

Iklan
Siti Hajar dan Azlan menunjukkan status WhatsApp dimuat naik Mohd Azwan sejam sebelum terkorban dalam kejadian terbabit.

SABAK BERNAM - Seorang ibu tidak menyangka majlis hari jadi yang dirancang bertukar menjadi majlis tahlil selepas salah seorang anaknya maut dalam kemalangan petang semalam.

Siti Hajar Harun, 49, yang sepatutnya meraikan ulang tahun kelahirannya bersama anak-anak berkata, hatinya luluh selepas menerima perkhabaran tersebut, apatah lagi selepas sejam arwah anaknya, Mohd Azwan Azlan, 24, memberi ucapan selamat hari lahir kepadanya menerusi status WhatsAppnya sebelum dikhabarkan meninggal dunia.

Iklan
Iklan

Dalam kejadian jam 2.30 petang semalam, Mohd Azwan meninggal dunia di tempat kejadian selepas traktor dipandunya terbabas lalu terperosok ke dalam parit di Jalan Parit, Sungai Haji Dorani di sini.

Siti Hajar berkata, anak-anaknya sebelum ini merancang berkumpul bagi meraikan ulang tahun kelahirannya dengan mengadakan majlis makan malam di rumah, namun takdir sebaliknya terhadap mereka sekeluarga.

Iklan

"Luluh hati saya bila mengenangkan tarikh istimewa kelahiran bertukar menjadi detik memilukan seperti ini," katanya.

Siti Hajar turut berkongsi ucapan hari lahir arwah kepadanya sambil memberitahu anaknya itu juga turut mendoakannya supaya dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki.

Iklan

Sementara itu bapa mangsa, Azlan Rasidi, 54, berkata, dia bergegas ke lokasi kejadian selepas dimaklumkan abangnya yang tinggal berhampiran rumah.

"Arwah selalu cakap nak berhenti kerja bawa traktor dan dua minggu lepas ada kata nak ikut kawan dia bekerja sebagai pemandu kapal korek di Pahang.

"Saya nasihatkannya supaya bekerja di kampung kerana di sini pun ada kerja yang bersesuaian, tambahan pula dia minat membawa jentera berat," katanya.

Traktor dipandu Mohd Azwan terbabas lalu terperosok ke dalam parit di Jalan Parit, Sungai Haji Dorani petang semalam.

Bagaimanapun, katanya, dia reda pemergian Allahyarham Mohd Azwan yang disifatkan seorang anak baik dan tidak pernah melawan ibu bapa.

"Arwah juga seorang periang dan suka bergurau selain mengambil berat hal keluarga," katanya.

Jenazah Mohd Azwan disembahyangkan di kediamannya pada jam 9.30 pagi dan selamat dikebumikan pada jam 11 pagi tadi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias mengesahkan kejadian berkenaan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa yang memandu traktor terbabas dan terjunam ke dalam parit mengakibatkannya meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam untuk bedah siasat," katanya.