PUTRAJAYA - Tindakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menunda tarikh persidangan Dewan Rakyat jelas menggambarkan beliau ketika ini berdepan cabaran untuk membentuk Kabinet baharu.
Bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ia dapat dilihat apabila Perdana Menteri kelapan itu melewatkan tarikh persidangan melebihi dua bulan dari tarikh sepatutnya berlangsung pada Isnin ini.
Beliau percaya Ahli Parlimen Pagoh itu berbuat demikian kerana sukar untuk mewujudkan jemaah Kabinet yang seimbang memandangkan Perikatan Nasional kini didominasi kaum Melayu.
"Ia gambaran bagaimana sukarnya untuk beliau menjalankan proses mengimbangi dan juga menguruskan puak (kaum) yang pelbagai.
"Apatah lagi rakyat Malaysia ternanti-nanti rupa sebuah kerajaan di mana wakil bukan Melayu sangat kecil. Blok terbesar adalah UMNO dengan 39 kerusi, Pas (18) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mendakwa ada 30 kerusi.
"Keadaan ini akan mengingatkan balik kepada rakyat apakah Muhyiddin akan menjadi Perdana Menteri kepada kaum Melayu sahaja atau untuk rakyat berbilang kaum," katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Apresiasi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution yang juga Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, selain itu, Perdana Menteri kelapan itu juga terpaksa berdepan cabaran untuk menangkis persepsi yang mengatakan beliau adalah pengkhianat.
"Meskipun beliau cuba untuk memberi wajah yang lebih baik terhadap insiden ini kerana beliau masih belum lagi dapat lari daripada stigma (didakwa sebagai pengkhianat) itu dan saya faham kesukaran yang beliau alami sekarang.
"Jadi saya ingat itu adalah proses yang Muhyiddin harus lalui dan beliau juga harus ada keupayaan untuk mewujudkan sebuah kerajaan yang berbeza dengan Pakatan Harapan (PH)," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Tunda takwim Parlimen ambil kira pelantikan Kabinet: JPM
Sementara itu, Saifuddin Nasution turut mendedahkan bahawa PH kekal dengan pendirian untuk membawa usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin pada sesi Dewan Rakyat akan datang.
"Kami percaya bahawa perjuangan belum selesai. Kami ada beberapa perkara dalam penyusunan kami yang hanya sesuai diumumkan dari semasa ke semasa dan pimpinan utama kami," katanya.
Terdahulu, Dewan Rakyat yang dijadualkan bersidang pada 9 Mac ditunda pada 18 Mei.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof berkata, perkara itu diputuskan oleh kerajaan melalui surat pemakluman daripada Muhyiddin sebagai Ketua Majlis.