Pengerusi UDA nafi jadi punca gelombang kedua Covid-19

Iklan
Hisham Hamdan

SHAH ALAM - Pengerusi UDA Holding Sdn Bhd, Datuk Hisham Hamdan menafikan dakwaan beliau ialah ‘sumber utama’ yang menyebarkan Covid-19 yang mencetuskan gelombang kedua penularan wabak berkenaan di negara ini.

Menurutnya, simptom batuk dan demam yang dialami pada 27 Februari lalu dan mendapatkan rawatan serta ujian termasuk Covid-19 di sebuah hospital swasta di Subang Jaya kerana bimbang dijangkiti demam denggi.

Iklan
Iklan

"Selepas itu saya pulang dan keesokannya dimaklumkan saya positif Covid-19 serta diminta pergi ke Hospital Sungai Buloh untuk pengasingan dan rawatan.

"Ini menjadikan saya individu ke-26 disahkan positif virus berkenaan namun tidak bermakna saya adalah individu ke-26 dijangkiti Covid-19 kerana kemungkinan ada orang lain yang sudah dijangkiti sebelum ini tetapi tidak diuji,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Iklan

Katanya, beliau bekerjasama dengan pihak hospital terbabit bagi membuat senarai pencarian kenalan bersama rakan-rakan di kedua-dua agensi berkenaan.

"Keluarga saya juga sudah diuji namun negatif tetapi pemandu saya di UDA serta paramedik hospital swasta yang merawat saya turut terkena jangkitan virus itu dan sedang menerima rawatan.

Iklan

"Saya ada menghadiri beberapa mesyuarat bersama individu ke-21 hingga ke-27 yang disahkan positif virus berkenaan dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) masih mengesan individu yang berkemungkinan dijangkiti,” katanya.

Hisham berkata, terdapat beberapa mesyuarat dihadirinya pada 24 Februari membabitkan 13 ahli lembaga bukan pengurusan dan individu pengurusan yang kemudian didapati negatif.

"Saya juga ada menghadiri majlis dalam kapasiti saya sebagai Pengerusi UDA pada 27 Februari lalu tetapi saya ingin menjelaskan bahawa saya tidak menghadiri sebarang majlis politik,” katanya.

Beliau mengakui pernah menghadiri persidangan di Shanghai pada 13 hingga 17 Januari lalu, namun mempunyai gejala jangkitan wabak berkenaan enam minggu selepas pulang ke tanah air.

"Ada dua isu mengenai kunjungan saya di Shanghai. Sepanjang menghadiri persidangan di sana, kes jangkitan Covid-19 hanya disahkan berlaku China adalah di bandar Wuhan yang tidak pernah saya kunjungi.

"Tiada syak wasangka ketika itu mengenai kemungkinan saya mendapat jangkitan apabila mengunjungi Shanghai kerana kes pertama yang dicatatkan di Shanghai adalah pada 20 Januari, sedangkan saya berada di sana untuk menghadiri persidangan dari 13 hingga 17 Januari,” katanya.

Menurutnya, seminggu selepas kembali ke Malaysia iaitu 25 Januari, Kementerian Kesihatan menasihatkan rakyat Malaysia untuk menangguhkan atau membatalkan perjalanan ke China.

"Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengumumkan darurat kesihatan awam angkara wabak berkenaan yang mengundang kebimbangan antarabangsa, pada 30 Januari.

"Semua peristiwa ini berlaku selepas saya kembali dari Shanghai. Tidak dinafikan gelombang kedua Covid-19 adalah dikaitkan dengan saya, tetapi ‘dikaitkan dan berasal dari saya’ adalah dua perkara berbeza," katanya.

Katanya, semua penyelidikan saintifik dan perubatan yang kita ketahui setakat ini menunjukkan virus berkenaan mempunyai masa inkubasi selama dua minggu.

"Melainkan ada penemuan penyelidikan perubatan lain yang membuktikan sebaliknya, justeru adalah penting untuk kita semua akui bahawa kunjungan saya ke Shanghai tiada kaitan dengan pengesahan saya dijangkiti koronavirus,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada barisan petugas kesihatan kerana memberikan perkhidmatan terbaik sepanjang di tempatkan di wad pengasingan selepas disahkan positif Covid-19.

Katanya, beliau kagum dengan kegigihan dan kerja keras petugas kesihatan dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada kesemua pesakit Covid-19.

"Kesemua mereka bekerja keras dan berdedikasi dalam memberikan rawatan terbaik kepada saya serta pesakit lain.

"Saya bangga kerana Malaysia mempunyai sistem perkhidmatan kesihatan berkualiti dan terbaik,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19: Ahli Lembaga Pengarah UDA disahkan positif: UDA Holdings

Covid-19: Kakitangan UDA diarah kerja dari rumah

Covid-19: Ibu Pejabat UDA dibersihkan, keselamatan dipertingkat

Covid-19: Tujuh kontak rapat Ahli Lembaga Pengarah UDA positif