ALOR SETAR - Lambakan ikan kembung di utara tanah air menjejaskan pendapatan nelayan pantai terutamanya di Kuala Kedah dan Kuala Muda.
Pengerusi Persatuan Pendidikan dan Kebajikan Jaringan Nelayan- Nelayan Pantai Malaysia (Jaring), Che Ani Mat Zain berkata, nelayan di kawasan itu bimbang masalah lambakan ikan kembung sejak hampir sebulan lalu kini semakin ketara apabila ikan berkenaan dijual RM1 sekilogram.
Menurutnya, walaupun fenomena itu bagaikan 'pesta ikan' kepada pembeli namun ia memberi kesan kepada nelayan yang bergantung hidup daripada hasil tangkapan mereka.
"Apabila ikan ini dijual pada harga RM1 sekilogram ini bermakna harga tolak nelayan kepada penjual adalah kurang daripada itu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Persatuan Nelayan Negeri Kedah (Nekad) dan Persatuan Nelayan Kuala Kedah digesa melakukan tindakan proaktif menyelesaikan masalah itu.
"Masalah ini membuktikan Nekad gagal memanfaatkan peti sejuk beku berkapasiti 650 tan metrik yang khabarnya akan digunakan untuk mengatasi masalah lambakan ikan," katanya.
Che Ani berkata, sebagai langkah penyelesaian, pihaknya turut mencadangkan Nekad dan LKIM menjual ikan-ikan ini di negeri pantai timur dan Kuala Lumpur.
"Di negeri-negeri berkenaan harga ikan kembung masih tinggi dan terkawal, jadi secara tidak langsung kita dapat kurangkan lambakan di utara dan pendapatan nelayan kembali stabil seperti biasa," katanya.