KOTA BHARU - Polis Kelantan menumpaskan geng Apeng dengan penahanan dua lelaki termasuk ketua kumpulan yang terbabit dalam 36 kes pecah cermin kenderaan menggunakan palam pencucuh di sekitar daerah ini sejak setahun lalu.
Anggota kumpulan berusia 23 tahun dan ketua kumpulan yang dikenali sebagai Apeng berusia 25 tahun tersebut ditahan oleh sepasukan anggota dan pegawai dari Pasukan Khas, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) dalam dua serbuan berasingan pada 20 Disember tahun lalu dan 4 Januari lalu.
Iklan
Iklan
Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kegiatan sekumpulan lelaki menjalankan kegiatan terbabit sebelum menahan suspek berusia 23 tahun juga anggota kumpulan tersebut ditahan pada 20 Disember tahun lalu.
Katanya, susulan penahanan pertama itu, pihak polis menjalankan siasatan lanjut dan menahan ketua kumpulan tersebut yang dikenali sebagai Apeng berusia 25 tahun di Lorong Huda, Jalan Sultan Yahya Petra di Lundang pada jam 6.20 petang, 4 Januari lalu.
"Siasatan mendapati mereka mempunyai kumpulan yang bergerak dengan bermotosikal dengan modus operandinya menyasarkan sebarang jenis kenderaan yang diletakkan di tempat sunyi.
"Suspek menggunakan palam pencucuh sebagai senjata untuk memecahkan cermin kereta dan mencuri barang di dalamnya,” katanya pada sidang media di IPK, di sini, hari ini.