SUNGAI PETANI - Ketua Whip PH, Datuk Johari Abdul mendakwa beberapa ahli Parlimen dari blok kerajaan bersedia untuk memberikan sokongan kepada Pakatan Harapan (PH) menerusi undian pada sidang Dewan Rakyat 18 Mei ini.
Johari yang juga Pengerusi PH Negeri Kedah berkata, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka berdepan masalah besar pada Sidang Dewan Rakyat kerana tidak mempunyai jumlah sokongan ahli Parlimen yang cukup untuk menyokongnya.
Beliau mendedahkan bahawa beliau sudahpun didatangi beberapa ahli Parlimen dari blok kerajaan yang bersedia untuk memberikan sokongan kepada PH apabila undian tidak percaya diadakan di Dewan Rakyat.
"Ramai (ahli Parlimen) yang call saya kata, Jo...don't worry (jangan risau), kita tidak tahu apa nak jadi. Mungkin masa itu sah Tan Sri (Muhyiddin Yassin) tidak mempunyai jumlah (sokongan) cukup. Perkara ini saya jangkakan (berlaku).
"Saya Ketua Whip...Saya tahu kawan-kawan saya. Hubungan saya dengan mereka rapat dan saya tahu apa yang ada dalam hati mereka," katanya.
Beliau berkata demikian kepada sidang akhbar selepas Mesyuarat Tertutup Kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kedah di Pejabat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Sungai Petani, Jalan Tikam Batu-Sungai Petani hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Muhyiddin berdepan cabaran bentuk Kabinet: Saifuddin Nasution
Johari berkata demikian ketika diminta mengulas pembentukan Kabinet baharu di bawah kepimpinan Muhyiddin yang masih belum diumumkan sehingga hari ini biarpun Perdana Menteri sudahpun mengangkat sumpah pada 1 Mac lalu.
Jelasnya, beliau yakin Perdana Menteri kelapan itu juga mempunyai masalah untuk membina Kabinet berintegriti kerana ahli Parlimen dari UMNO sendiri sebagai contohnya terpalit dan berdepan dengan pelbagai isu integriti.
Rabu lalu, media melaporkan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof mengesahkan sidang yang sepatutnya dijadualkan pada 9 Mac ditunda kepada 18 Mei.
Sidang Dewan Rakyat pertama bermula 18 Mei hingga 23 Jun, sidang kedua (27 Julai hingga 27 Ogos) dan sidang ketiga (28 September hingga 26 November).
Sidang yang bermula pada 18 Mei itu bakal menjadi tumpuan selepas PH dikhabarkan mahu mengusulkan undi tidak percaya ke atas Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.