NEW DELHI - INDIA. Hari ini genap sebulan 15 pelombong terperangkap dalam lombong arang batu di kawasan terpencil di timur laut India.
Meskipun peluang untuk menemui mangsa hidup tipis, operasi mencari dan menyelamat terus disambung melibatkan 200 petugas dan sukarelawan.
Mahkamah Agung pada Jumaat mengarahkan kerajaan Meghalaya untuk meneruskan usaha mengesan kesemua pelombong terbabit, meskipun usaha mengepam air keluar dari lombong berkenaan tidak berhasil.
Difahamkan, kumpulan pelombong tersebut terputus hubungan sejak 13 Disember lalu apabila air sungai berhampiran melimpah masuk ke dalam lombong haram sedalam 106 meter di negeri Meghalaya.
Mahkamah mengharamkan kegiatan melombong arang di kawasan terbabit sejak tahun 2014 susulan aduan aktivis alam sekitar bahawa ia mengakibatkan pencemaran air menjadi semakin buruk.
Kegiatan itu bagaimanapun diteruskan oleh penduduk setempat secara haram menggunakan kaedah berbahaya dikenali sebagai lubang tikus.
Ia termasuk menggali lubang di lereng bukit dan membentuk satu terowong kecil menuju ke sumber arang.
Enam tahun lalu seramai 15 pelombong terbunuh apabila terperangkap di dalam lubang tikus, juga di negeri Meghalaya dan mayat mereka tidak pernah ditemui sehingga hari ini. - Agensi