SHAH ALAM - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab susulan kenyataan pemimpin itu yang mendakwa perbicaraan melibatkan beberapa pemimpin UMNO di mahkamah bukan perkara penting berbanding usaha menyelamatkan negara.
Ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, skandal melibatkan pemimpin parti terbabit merupakan kes berprofil tinggi dan melibatkan kepentingan rakyat serta negara.
Iklan
Iklan
Beliau berpendapat kerajaan baharu perlu mengetepikan pemimpin yang didakwa di mahkamah sebagai calon jemaah menteri.
"Justeru, kerajaan Perikatan Nasional terutama Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu membuktikan kata-kata beliau untuk membentuk barisan anggota jemaah menteri daripada kalangan individu yang bersih, berintegriti, berkaliber dan membuktikan kepada rakyat beliau mampu mengambil alih kepimpinan kerajaan," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Pada sidang akhbar Ahad lalu, Abdul Hadi dilapor berkata, sesi perbicaraan melibatkan pemimpin UMNO bukan hal yang penting berbanding usaha menyelamatkan negara.
Katanya lagi, Pas menaruh harapan agar kerajaan mengutamakan agenda memulihkan ekonomi negara.
Artikel Berkaitan