Tuah Amir pakai t-shirt Shell

Iklan
Muhammad Amir (depan, dua dari kiri) bersama rakan-rakannya di SMK Puchong Perdana ketika mengambil keputusan SPM semalam. Twitter Muhammad Amir tular di laman sosial.

PUCHONG - [DIKEMASKINI] Tuah ayam nampak dikaki tuah manusia siapa yang tahu. Itu gambaran boleh diberikan kepada seorang bekas calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2019 apabila tuahnya memakai t-shirt Shell berjaya menambat hati Pengarah Urusan Shell Malaysia Trading Sdn Bhd.

Muhammad Amir Hakim Shaharudin, 18, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Puchong Perdana tidak menjangkakan video rakaman dia mengambil keputusan SPM sambil memakai t-shirt Shell semalam tular di laman sosial.

Iklan
Iklan

"Seminggu awal sebelum keputusan SPM keluar, saya terfikir nak pakai baju apa ketika mengambil keputusan.

"Saya sekadar berkongsi cabaran di Twitter dengan ciap kapsyen, '6,500 RT (retweet) aku pakai baju Shell'.

Iklan

"Tak sangka pula ciapan saya menarik perhatian rakan-rakan dan akhirnya gara-gara cabaran tersebut, saya pakai baju Shell yang pastinya memang cantik," selorohnya.

Bercerita lanjut, anak ketiga dari lima beradik ini berkata, pertemuan dengan Pengarah Urusan Shell Malaysia Trading, Shairan Huzani itu membuatkan dirinya berasa teruja malah melahirkan rasa syukur.

Iklan

"Bila pihak majikan memaklumkan bos besar Shell nak bertemu, rasa teruja dan seakan tidak percaya ia akan berlaku.

Muhammad Amir teruja bertemu Shairan.

"Saya pekerja biasa sahaja tetapi itulah dinamakan rezeki. Masa beliau datang, saya ada perasaan takut, namun melihat sikap rendah dirinya, membuatkan saya yakin berhadapan dengannya.

"Beliau mengucapkan tahniah di atas kejayaan dalam SPM selain memberi hadiah untuk meraikan kejayaan tersebut," katanya bertugas di Stesen Minyak Shell Puchong Permai sejak Januari lalu.

Dalam pada itu, Muhammad Amir menjelaskan, pertemuan istimewa tersebut telah membuka ruang dan peluang untuk dirinya mengikuti program khas di bawah kendalian syarikat minyak dan gas tersebut.

"Buat masa ini, saya tiada niat untuk sambung pelajaran cuma saya tertarik dengan program di bawah kendalian syarikat ini.

"Mungkin saya akan ikuti program tersebut dijangka bermula Jun ini selama dua hingga tiga tahun," katanya kepada Sinar Harian.

Dalam pada itu, anak kepada pekerja kilang dan penyelia jururawat ini bersyukur atas keputusan cemerlangnya dalam SPM yang diumumkan semalam.

"Tidak termimpi perkara ini akan berlaku tetapi saya tetap bersyukur. Niat saya mahu membantu keluarga dan atas dasar itu, saya tidak memilih pekerjaan.

"Saya juga tidak malu untuk memakai baju Shell dan ternyata ia memberi tuah kepada saya," katanya.

Sementara itu, Muhammad Amir memperoleh keputusan SPM dengan 5A dalam subjek Bahasa Inggeris, Sains, Prinsip Perakaunan, Ekonomi dan Matematik, manakala 3B bagi subjek Bahasa Melayu, Pendidikan Islam dan Sejarah serta 1C bagi Matematik Tambahan.

Terdahulu, video yang dimuat naik di Twitternya kini meraih lebih 616,300 tontonan daripada netizen, sekali gus menyifatkan Muhammad Amir sebagai 'role model' kepada anak muda untuk bekerja sambilan atau tetap di syarikat minyak dan gas.