BENTONG - Dua guru wanita dari Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail (TTDI) Jaya, Shah Alam parah manakala tiga lagi cedera ringan selepas bas dinaiki mereka merempuh belakang sebuah treler di Kilometer 42.6 Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak di sini tengah malam tadi.
Dalam kejadian jam 11.50 malam itu, 33 lagi penumpang bas dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan termasuk pemandu bas dan pemandu treler.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Yusuf Unis berkata, bas membawa 38 guru termasuk dua kanak-kanak itu dalam perjalanan dari Shah Alam, Selangor ke Kelantan.
"Ketika tiba di lokasi kejadian, bas berkenaan dipercayai mengalami masalah brek ketika menuruni laluan berbukit.
"Pemandu bas cuba mengelak ke kiri hingga melanggar besi penghadang jalan sebelum merempuh belakang treler yang berada di hadapan," katanya.
Yusuf berkata, mangsa yang cedera dikeluarkan dengan bantuan anggota bomba dan dua mangsa yang parah dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh manakala mangsa yang cedera ringan menerima rawatan di Hospital Bentong," katanya.
"Pemandu bas ditahan kerana positif dadah jenis methamphetamine dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Anuar Hassan berkata, seramai 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bentong bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan.
"Anggota bomba bertindak mengeluarkan dua mangsa wanita dalam operasi yang turut dibantu lima anggota pasukan bomba sukarela Janda Baik," katanya.