KETUA Jurulatih Melaka United, Zainal Abidin Hassan mahu anak-anak buahnya mengekalkan fokus dan mengekalkan rentak konsisten dalam permainan mereka selepas meraih kemenangan 3-1 ke atas PDRM dalam aksi Liga Super malam tadi.
Pengendali berusia 57 tahun itu berkata, tiga mata yang dikutip itu menjadi pembakar semangat untuk mereka memberi persembahan lebih bertenaga dan mencari kemenangan pada aksi seterusnya bertemu Felda United, Rabu ini di Stadium Tun Razak, Jengka.
"Kita mempunyai masa dua hingga tiga hari untuk berlatih, beraksi di padang rumput tiruan memerlukan semua pemain untuk lebih berdisiplin dan sekiranya cuai kita mampu dibolosi.
Pasukan ini telah menunjukkan satu sistem permainan yang lebih baik serta kemas dan ini satu perkembangan bagus untuk para pemain,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan, di sini malam tadi.
Pada perlawanan malam tadi, skuad Sang Kancil mendahului The Cops menerusi tandukan pemain import dari Nigeria, Uche Agba pada minit ke-17 untuk mendahului kedudukan 1-0 hingga tamat separuh masa pertama.
Tuan rumah yang beraksi di hadapan 3,500 penyokong terus menambah jaringan hasil sepakan deras ketua pasukan, Safiq Rahim pada minit ke-71 sebelum PDRM merapatkan kedudukan menerusi Antonio German di minit ke-81, dan kemudian Wan Amirul Afiq Wan Ab Rahman menambah jaringan untuk Melaka di minit akhir masa tambahan.
Zainal Abidin berpuas hati dengan corak permainan yang dipamerkan anak-anak buahnya biarpun terdapat sedikit kelemahan iaitu mencari gerakan penyudah walaupun mampu mencipta beberapa peluang keemasan.
"Ada masa, mereka nampak tertekan hingga dibolosi namun kita mahu para pemain memperbaiki kekurangan itu dan tingkatkan prestasi supaya pasukan ini lebih maju dan baik untuk terus memberikan saingan kepada lawan," katanya.
Melaka United sehingga kini berjaya meraih enam mata hasil dua kemenangan dan berada di kedudukan teratas Liga Super. - Bernama